14 September 2026

Ulasan Buku "Dialog Existologi"

 



ULASAN BUKU SIRI: 51
[PERMASA BOOK CLUB]
Ulasan Oleh: Muhammad Adam Daniel Bin Harold Nizam @ Redzam
Ijazah Sarjana Muda Hadith dengan Kepujian
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

 

Judul Buku: Dialog Existologi
Penulis: Dr. Naseer Sobree
Penerbitan: Baytul Hikma
Tahun Penerbitan: 2015
Jumlah Halaman: 153

 

Ulasan kali ini sememangnya berbeza daripada ulasan-ulasan yang lampau. Mengapa dan bagaimana? Ulasan buku yang ingin dikongsikan pada kali ini adalah seputar agama, perubatan dan falsafah. Ranah yang terakhir itulah yang barangkali akan menjadi tumpuan kita semua memandangkan falsafah sering dikira unsur 'asing' daripada tradisi (keilmuan) Islam, lebih-lebih lagi ia juga dipandang "bid'ah" oleh sebilangan Kaum Muslimin.

 

Akan tetapi, andai diberikan pendedahan yang sewajarnya, pegangan erat terhadap al-Quran dan Sunnah tidak semestinya akan pudar oleh sebab falsafah. Malah, falsafah akan dapat, secara matang, difahami dan ditanggapi sebagaimana ilmu-ilmu lain seperti sejarah, sosiologi, psikologi, ekonomi, politik dan lain-lain ranah kehidupan yang dikaji insan. Hal ini kerana di dalam bidang falsafah itu sendiri wujud mazhab-mazhab yang rencam lagi unik. Tidak kurang juga mazhab-mazhab yang sememangnya janggal di telinga untuk direnungkan apatah lagi diperbahaskan. Setiap mazhab mewakili falsafah mereka tersendiri. Satu contoh yang pengulas boleh kemukakan sebagai perbandingan adalah tokoh Psikoanalisis Sigmund Freud di dalam bidang Psikologi. Beliau tidak mewakili Psikologi itu sendiri sebagai satu ilmu lengkap. Malahan, Freud dengan teori "seks sebagai pemangkin bawah sedar tindakan-tindakan manusia"nya tidak kurang dikritik termasuk oleh Psikologis Muslim, al-Marhum Malik Badri (silakan baca ‘The Dilemma of Muslim Psychologists’). Aristotle, Plato dan Sokrates bukan "satu-satunya" Filsuf yang pernah berfikir! Sikap "pukul sama rata" tidak akan sama sekali berjaya menghapuskan kesesatan di atas muka bumi ini. "Taklid dalam menolak sesuatu perkara" pun taklid jua! Barang diingat, dengan merenungkan Sunnatullah berbentuk sebab-akibat, kesesatan adalah hasil diri yang tidak dapat membezakan yang hak dan batil. Andai air di dalam sebuah kolam mandi (mudah alih) bayi itu sudah lama dan perlu ditukar, apakah kita akan melimpahkan keluar air itu bersama-sama bayi yang tidak bersalah? Jelasnya, tidak salah sama sekali untuk dikatakan bahawa pada setiap ilmu yang kita selami, harus disertakan dengan rasa berhati-hati (bukan sombong) dalam mengkaji.

 

Existologi merupakan istilah pengarang bagi falsafah (dengan makna kajian tentang wujud). Antara asas yang menjadi tunjang falsafah beliau adalah tiga sumber pengetahuan iaitu al-Hiss, al-'Aql, al-Wahy. Di samping itu, beliau menyajikan beberapa perincian sekitar falsafah yang meliputi pendekatan pengarang dalam menanggapi pandangan (menggali seraya mengumpul maklumat dari sumber pelbagai iaitu penilaian dilakukan lewat piawaian sumber ilmu/epistemologi yang jitu; integratif dan elektif / tajmi' dan takhyir, berpandukan ayat 18 Surah az-Zumar), kedudukan kashaf sebagai sumber ilmu menurut Existologi, kritikan beliau terhadap penyalahgunaan istilah "logik/tidak logik" oleh sebilangan orang awam (beliau menjelaskan adanya perbezaan di antara konsep logik dan rasional), kritikan beliau terhadap pengagungan melampau terhadap sains sebagai satu-satunya yang mutlak sedang kajian atau eksperimentasi adalah berdasarkan kondisi yang relatif (dalam bahasa yang mudah, sampel kajian yang dikawal dalam masa serta ruang yang tertentu atau ditentukan), kepentingan mantiq termasuk dalam pengajian bidang perubatan dan lain-lain.

 

Kupasan falsafi beliau banyak membantu pengulas dalam mengulangkaji apa yang telah beliau ajarkan ketika beliau mensyarahkan Mabadi' al-Falsafah karya Syeikh Sa’eed Ahmad al-Balanburi pada satu ketika dahulu. Selain itu, tidak sedikit perbahasan yang dikupas oleh pengarang yang berjaya menggambarkan betapa praktikalnya falsafah dalam memandang kehidupan (malah, sebenarnya, aspek praktikal/amali dalam falsafah itu disebut al-Hikmah al-'Amaliyyah, barangkali ramai lari daripada falsafah kerana terlalu "gerun" terhadap teori yang kelihatan kompleks pada mulanya tanpa cuba meninjau sisi-sisinya yang amali jua). Hal yang kerap "buat sesetengah pihak geram" terhadap falsafah adalah sebahagian teori yang dikemukakan oleh sebilangan ahli falsafah yang ditanggapi bercanggah dengan wahyu. Tiada siapa menghalang kita untuk bersikap kritis mengenai hal tersebut tetapi bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

 

Kadangkala, kupasan yang disajikan adalah berbentuk teks ringkas bertujuan sebagai pengantar bagi sesuatu perbahasan. Pada kesempatan lain, pengarang membawa dialog ke dalam perbincangan. Tindakan tersebut mengingatkan saya terhadap usaha rekod oleh anak murid (Plato) pengajaran si guru (Sokrates) yang berupa dialog antara watak. Tidak dapat dinafikan, dialog-dialog yang termuat di dalam catatan pengarang menggambarkan luasnya pergaulan pengarang. Tidak menghairankan juga kalau dikatakan bahawa selain membaca dan berguru (talaqqi), berdialog atau “sembang berisi” juga boleh dijadikan jalan dalam menuntut, menambah sembari memperkemaskan pengetahuan. Ada kalanya, pengarang menampilkan buah fikirannya dalam bentuk aforisme (ungkapan ringkas-serba-bermakna). Terkadang, pengarang menyertakan rajah sebagai pemudah kefahaman. Rencam struktur pada lontaran buah fikiran ini tidak membuatkan pembaca cepat merasa bosan. Malahan, ketidaksinambungan antara bab-bab memberikan kebebasan kepada pembaca untuk ulang-rujuk mana-mana bahagian yang menjadi minatnya.

 

Seperti yang sudah disebutkan sebelum ini, pengarang tidak hanya fokus pada ranah falsafah semata-mata. Bahkan, pengarang menyumbang buah fikirannya seputar agama dan perubatan. Dalam perbahasan agama, beliau mempunyai kritikan yang tersendiri, antaranya, terhadap ketaksuban segelintir kepada unsur-unsur yang dikatakan mewakili "humanisme" di dalam Islam, begitu juga terhadap perangai kurang baik sebahagian agamawan di samping mensyarah konsep wasatiyah di sisi beliau. Adapun, dalam perbahasan perubatan, beliau membahaskan serba sedikit berkenaan Perubatan Ibnu Sina (Persina) yang menyentuh perubatan dari sudut teori dan dari sudut praktikal. Selain itu, beliau menjelaskan tidak semua simptom itu negatif (kerana "simptom yang positif" harus dikawal, bukan dihalang, memandangkan ia adalah satu proses penyingkiran racun/ bahan patogenik dari tubuh). Di samping itu, beliau mencatat lantas memberi pendedahan kepada para pembaca akan ramuan yang disebut Sakanjabin/Oximel, fungsinya serta langkah berjaga-jaga dalam memanfaatkannya. Jujur kata, pengulas belum dapat menguasai lagi (baca: masih belum "membiasakan" diri terhadap) semua yang dicatat oleh pengarang dalam soal perubatan ini. Ikhtisas bidang tidak menjadi penghalang sebenarnya. Lihatlah budaya “silang-bidang (polymathy)” yang ditampilkan oleh susuk seperti Ibnu Sina, al-Kindi serta mereka yang seangkatan. Bahkan, pengulas menjadi bersemangat untuk mempelajarinya oleh sebab gaya kupasan pengarang yang tidak mengecewakan dalam merangsang sikap inkuiri.

 

Sebagai intiha, usah kita terlalu "berlakon ada alahan (alergik)" terhadap "ilmu yang tercemar" dek beberapa individu yang memiliki pemikiran tersendiri. “Beralah-lah sedikit” untuk mengambil tahu. Persoalan yang harus kita tanyakan, apakah ada usaha sendiri dalam mengekstrak madu dengan selamat supaya tidak disengat lebah yang mengelilinginya? Malahan, apakah kita harus bermusuhan dengan lebah tersebut andai kita sendiri tidak semena-mena bersikap bermusuhan (hostile) terhadapnya pada awalnya?


18 July 2026

PENGAMBILAN PELAJAR DIPLOMA PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU (MQA) KOLEJ SPACE, UTM



Sukacitanya diumumkan bahawa pihak Kolej SPACE UTM kini membuka pengambilan pelajar baharu bagi jurusan Diploma Perubatan Tradisional Melayu (DPTM) yang diiktiraf oleh MQA dan KKM.

DPTM ini merupakan satu-satunya kelayakan rasmi dalam Perubatan Melayu yang melengkapi asas sains perubatan, asas Perubatan Melayu dan kesemua modaliti amalan Perubatan Melayu iaitu:

1. Urut Melayu

2. Bekam Melayu

3. Herba Melayu

4. Penjagaan Selepas Bersalin


SYARAT KEMASUKAN

i. Mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya kredit dalam TIGA mata pelajaran termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik*; (Syarat tambahan untuk Amalan Perubatan Islam: Kredit dalam SATU mata pelajaran berkaitan Pengajian Islam* pada peringkat SPM) ATAU

ii. Lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan sekurang-kurangnya Gred C (GP 2.0) dalam satu mata pelajaran dan kredit dalam mata pelajaran Sains dan Matematik* pada peringkat SPM; ATAU

iii. Lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan sekurang-kurangnya Gred Maqbul dan kredit dalam mata pelajaran Sains dan Matematik* pada peringkat SPM; ATAU

iv. Mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang berkaitan tertakluk kepada kelulusan Senat / Lembaga Akademik HEP; (HEP hendaklah menjalankan saringan dan memberikan panduan yang diperlukan khusus kepada disiplin program) ATAU

v. Sijil atau kelayakan lain yang setara/berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.


Jika anda berminat untuk mendaftar sebagai pelajar DPTM di Kolej Space UTM, sila isi borang saringan berikut:

https://forms.gle/EEu8bu7WMhhmhLGj9

Terima Kasih


10 May 2026

Pengenalan kajian "Kitāb al-Manṭiq Īsāghūjī" manuskrip Or. 7204a Leiden

 


Fātiḥah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِي أَنْطَقَ النَّاطِقِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى خَيْرِ النَّاطِقِينَ

Ilmu Mantik

Ilmu mantik ialah ilmu yang bertujuan untuk mengelakkan kesalahan dalam berfikir dengan cara memelihara dan menggunakan peraturan-peraturan berfikir yang telah digariskan. Dalam tradisi Islam, ilmu mantik dianggap sebagai ilmu alat yang mesti dikuasai sebelum mempelajari ilmu-ilmu lain.

Ilmu mantik mempunyai sejarah yang panjang dan telah mengalami pelbagai kritikan, perubahan dan penambahbaikan. Walaupun ilmu mantik klasik dan mantik moden sudah banyak berbeza, namun asasnya tetaplah sama, iaitu ia menggunakan kaedah-kaedah dasar dalam berfikir yang merupakan fitrah semula jadi bagi manusia.

Walaupun ilmu ini secara formalnya disusun oleh Aristotle, namun kaedah-kaedah berfikir itu sudah sedia wujud pada diri manusia sejak wujudnya manusia yang pertama, bukan Aristotle. Aristotle hanya memerhati dan merenung kaedah-kedah tersebut sedalam-dalamnya lalu disusun bersesuaian dengan zaman dan latar belakangnya ketika itu.

Kalamana ilmu mantik masuk ke dunia Islam, tokoh-tokoh ilmuwan Islam bertindak mengembangkannya, terutamanya al-Mu‘allim al-Ṡānī al-Fārābī dan al-Shaykh al-Ra’īs Ibn Sīnā.  Kemudian ilmu ini ditapis dan dimurnikan oleh tokoh-tokoh seperti al-Imām Ḥujjat al-Islām al-Ghazālī dan juga al-Imām Fakhr al-Dīn al-Rāzī.

Kemudiannya ilmu ini terus dikritik dan dikembangkan sehingga terhasil ilmu mantik moden yang ada pada hari ini. Kritikan dan penambahbaikan terhadap sesuatu bidang ilmu merupakan perkara biasa. Kritikan tersebut tidaklah meruntuhkan sesuatu bidang ilmu.

Secara umumnya, dalam setiap bidang ilmu, ada perkara-perkara dasar (uṣūl) yang stabil dan sukar berubah, dan ada juga perkara-perkara ranting (furū‘) yang dinamik dan mudah berubah. Hal yang sama turut berlaku dalam ilmu mantik, maka janganlah hanya kerana kritikan tertentu lantas kita terus menolaknya secara total. Hikmah itu perlulah sentiasa dikutip daripada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.

Suasana Ilmu Mantik di Malaysia

Berdasarkan perspektif peribadi, suasana ilmu mantik di Malaysia, terutamanya sekitar tahun 90-an sehingga 2010, didapati ia hanya dipelajari secara formal di institusi-institusi rasmi di peringkat universiti dan pra-universiti, dan biasanya melibatkan pengajian dalam bidang agama.

Adapun di peringkat pondok, ilmu ini sudah menjadi ilmu yang nadir. Kebanyakan pondok hanya fokus kepada ilmu bahasa Arab, tafsir, hadis, tauhid, fikah dan tasawuf. Tidak banyak pondok yang fokus ilmu-ilmu ‘aqlī (rasional) seperti ilmu manṭiq (logik) dan maqūlāt (kategori).

Setelah saya pulang ke Malaysia pada tahun 2013 selepas belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir, suasananya boleh dikatakan masih sama. Saya mula berkongsi serba sedikit mengenai ilmu mantik di media sosial, hal ini menimbulkan minat dalam kalangan masyarakat terutamanya para penuntut ilmu. Beberapa pihak telah menjemput saya agar mengajar kelas ilmu mantik, contohnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) cawangan Petaling Jaya dan Kuantan, juga di Klasika Media yang kini dikenali sebagai Akademi Jawi Malaysia.

Matan Īsāghūjī yang asalnya merupakan nota untuk kelas-kelas tersebut, akhirnya disunting dengan baik dan diterjemah kesemuanya secara lengkap, lalu diterbitkan sebagai buku pada tahun 2015. Buku terjemahan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan sudah lama kehabisan stok. Awalnya saya merancang untuk mengulang cetak terjemahan tersebut, namun setelah saya menemukan manuskrip Or. 7204a pada tahun 2021 maka saya putuskan untuk mengkaji dan merumikan manuskrip tersebut supaya dapatlah ia memenuhi keperluan masyarakat yang berminat dengan ilmu mantik.

Setelah semua itu, ilmu mantik semakin subur, terutamanya selepas kepulangan beberapa agamawan dari Timur Tengah. Banyak program, kelas dan pengajian ilmu mantik dianjurkan di pelbagai tempat. Buku-buku berkaitan ilmu mantik juga mula dikaji dan diterbitkan. Ilmu mantik bukan lagi ilmu yang nadir di Malaysia.

Lumrah bagi sesuatu yang meningkat naik, pasti ada yang ingin menjatuhkannya. Kritikan dan kontroversi terhadap ilmu manṭiq, termasuk juga ilmu maqūlāt, mula kedengaran di beberapa medium. Golongan ini cuba mengembalikan polemik-polemik zaman purba kala, dan ada juga yang mempertembungkannya dengan mantik moden, falsafah moden dan sains moden. Golongan ini, seandainya mereka memahami hakikat dan prinsip ilmu mantik, falsafah dan sains, sama ada aliran klasik atau moden, nescaya mereka akan bahagia jika dapat mempelajari dan memahami kedua-dua aliran tersebut.

Manuskrip Ilmu Mantik

Terdapat beberapa dakwaan berkaitan kewujudan manuskrip ilmu mantik di alam Melayu, sama ada yang dalam bahasa Arab sepenuhnya atau turut melibatkan bahasa Melayu.

Manuskrip terawal yang disebutkan ialah manuskrip ‘Ilm al-Manṭiq dalam koleksi Wan Mohd Shaghir yang dipercayai ditulis pada tahun 1593 oleh al-Faqīh Wan Mūsā al-Faṭānī. Dikatakan bahawa di tepian teks utama yang dalam bahasa Arab itu (ḥāshiyah) terdapat catatan dalam bahasa Melayu, namun catatan Melayu  itu tidak dapat disahkan benar-benar ditulis pada tahun 1593, bahkan mungkin juga ditulis selepas itu.

Seterusnya ialah manuskrip Ms 781(2) dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang dikatakan ditulis oleh Shaykh Nūr al-Dīn al-Rānīrī sekitar tahun 1620-1640. Antara persoalan yang timbul adalah mengenai kesahihan penisbahan karya itu kepada al-Rānīrī. Persoalan lain ialah kandungan manuskrip itu sendiri yang secara umumnya berkaitan pembuktian kewujudan Tuhan yang memuatkan sedikit pengenalan mengenai burhān sebagai asas perbahasan ketuhanan. Maka ia lebih sesuai dianggap sebagai teks teologi atau ilmu kalām.

Antara lain ialah penemuan manuskrip Ms_Or_14 dalam koleksi Perpustakaan Universiti Marburg yang dianggarkan bertarikh sebelum tahun 1750. Dikatakan bahawa penulis manuskrip itu mendakwa bahawa itulah karya mantik dan falsafah yang pertama dalam bahasa Melayu. Buat masa ini tidak banyak maklumat yang ada mengenai manuskrip tersebut, maka kajian mendalam mengenainya perlulah dijalankan untuk mengesahkannya.

Kemudiannya ialah manuskrip Or. 7204a dalam koleksi Perpustakaan Universiti Leiden, iaitu manuskrip yang dikaji dalam buku ini. Dalam manuskrip itu terdapat catatan bahawa ia selesai disalin pada 19 Zulhijjah 1280H bersamaan 26 Mei 1864, maka manuskrip asalnya itu mungkin bertarikh sedemikian atau lebih awal. Manuskrip ini secara jelas memang membahaskan matan ilmu mantik iaitu Īsāghūjī, bahkan mengandungi terjemahan Melayu bersamanya.

Manuskrip lain yang berkaitan ilmu mantik ialah Or. 16762 dalam koleksi Perpustakaan British. Manuskrip ini mengandungi beberapa judul berbeza, salah satunya ialah ilmu mantik yang ditulis dalam bahasa Arab tanpa terjemahan. Ia dianggarkan bertarikh sekitar abad ke-19.

Selain daripada yang telah disebutkan, masih ada beberapa manuskrip yang terdapat di beberapa pondok dan pesantren. Hanyasanya, pentarikhan bagi manuskrip-manuskrip tersebut memerlukan kajian yang lebih terperinci, kerana sebahagiannya adalah berdasarkan sumber lisan semata-mata.

Penemuan Manuskrip Or. 7204a

Manuskrip Or. 7204a koleksi Perpustakaan Universiti Leiden ini telah saya temukan pada tahun 2021 ketika sedang mencari manuskrip perubatan Melayu di laman web rasmi perpustakaan tersebut. Manuskrip ini telah dicatat dalam Handlist of Arabic Manuscripts in The Library of the University of Leiden and Other Collections in the Netherlands edisi kedua (1980) dan juga Inventory of the Oriental Manuscripts of the Library of the University of Leiden jilid kelapan (2019).

Manuskrip ini boleh dikatakan unik kerana belum ada penerbitan secara terbuka berkaitan manuskrip ilmu mantik dalam bahasa Melayu. Manuskrip ini bukanlah selitan unsur-unsur ilmu mantik dalam ilmu-ilmu lain, bahkan ia memang terjemahan bahasa Melayu bagi teks ilmu mantik yang formal dan sangat terkenal dalam dunia Islam iaitu matan Īsāghūjī karya Aṡīr al-Dīn al-Abharī.

Manuskrip ini telah saya sempurnakan perumiannya pada tahun 2022, namun disebabkan kesibukan dengan pelbagai komitmen terutamanya berkaitan urusan-urusan pendidikan dan klinikal, maka penerbitannya telah tertangguh. Pada awal tahun 2026 barulah saya berkesempatan membuat suntingan akhir sehingga ia sedia untuk diterbitkan.

Latar Belakang Manuskrip Or. 7204a

Manuskrip Or. 7204a dimiliki oleh Muḥammad Kelana bin Jaksa Mayur Faqīr ‘Abd al-Mujīb Muḥammad Zubaydī. Beliau merupakan seorang penyalin, pemilik dan individu yang membuat catatan pada beberapa buah manuskrip Melayu. Dalam manuskrip Or. 7343, Muḥammad Kelana membuat catatan bahawa beliau pada asalnya merupakan seorang tukang emas. Akibat daripada perselisihan faham dengan bapanya, beliau telah keluar belayar untuk berdagang. Pada pelayaran yang kedua, kapalnya telah dilanda badai ribut lalu beliau hanyut terdampar di Kampung Penyawakan yang terletak di Pulau Cangkir, Bintan.

Penyalin manuskrip ini ialah al-Ḥajj Muḥammad Najīḥ bin Imām Muḥammad Ṣāliḥūn yang dinyatakan sebagai penghulu Batavia, Indonesia. Namun penterjemah sebenar bagi teks Arab Īsāghūjī itu tidaklah dinyatakan secara jelas.

Manuskrip ini telah berpindah tangan dan menjadi milik Snouck Hurgronje, seorang orientalis terkenal. Kemudian, selepas kematiannya, manuskrip ini diserahkan kepada Perpustakaan Universiti Leiden.

Manuskrip ini mengandungi 28 folio bersamaan 56 muka surat. Folio 1 hingga 23 ialah bahagian pertama, manakala folio 24 hingga 28 ialah bahagian kedua. Bahagian pertama mengandungi teks Arab Īsāghūjī bersama terjemahan Melayu, manakala bahagian kedua mengandungi teks Arab dan terjemahan Melayu bagi kitab Fatḥ al-Qarīb al-Mujīb dan Ḥadīṡ Arba‘īn.

Kaedah Kajian Manuskrip Or. 7204a

Kajian manuskrip ini secara asasnya menggunakan kaedah filologi dan melibatkan transliterasi, edisi dan anotasi. Bahagian yang dikaji ialah bahagian pertama manuskrip ini iaitu teks Īsāghūjī dan terjemahannya.

Pada peringkat awalnya saya mempertimbangkan sama ada untuk kekalkan sepenuhnya segala kandungan manuskrip sepertimana adanya, ataupun lakukan suntingan minimal supaya sebarang kesilapan signifikan yang ada pada manuskrip dapat diperbetul. Akhirnya saya putuskan untuk lakukan suntingan, supaya kajian ini dapat digunakan sebagai teks pembacaan dan pengajian tanpa melibatkan kesilapan yang nyata yang boleh menjejaskan kefahaman mengenai ilmu mantik. Walau bagaimanapun, setiap suntingan itu dinyatakan secara jelas di bahagian nota kaki, maka para pembaca boleh mengetahui apakah teks asal yang tertulis pada manuskrip.

Suntingan manuskrip ini dibuat berdasarkan matan Īsāghūjī yang ada dalam syarahnya yang ditulis oleh Shaykh Zakariyyā al-Anṣārī iaitu kitab al-Maṭla‘. Secara umumnya, ada dua versi matan Īsāghūjī iaitu versi yang ada dalam al-Maṭla‘ seperti yang telah disebutkan, dan juga versi yang ada dalam al-Fawā’id al-Fanāriyyah iaitu syarah Īsāghūjī yang ditulis oleh al-‘Allāmah Shams al-Dīn al-Fanārī. Perbezaan yang paling ketara antara versi Maṭla‘ dan versi Fawā’id boleh dilihat pada bab qiyās. Matan Īsāghūjī yang ada dalam manuskrip Or. 7204a secara asasnya adalah berdasarkan versi Maṭla‘, maka dengan sebab itu suntingan ini menggunakan versi Maṭla‘ sebagai perbandingan dan rujukan utama, terutamanya untuk memperbetul sebarang kesilapan yang ada dalam manuskrip tersebut.

Wajar juga dinyatakan di sini bahawa kesilapan yang berlaku dalam manuskrip ini kebanyakannya adalah dalam bentuk kesilapan ejaan, kesilapan penambahan teks dan kesilapan pengurangan teks. Maksudnya, perbezaan teks manuskrip dan teks Maṭla‘ bukanlah melibatkan perbezaan pendapat yang perlu dikekalkan, bahkan kebanyakannya mengubah makna asal Īsāghūjī dan boleh membawa kepada salah faham. Lagipun, teks ini ialah matan yang ada asalnya yang perlu dirujuk, bukannya syarah yang boleh memuatkan perbezaan pendapat antara penulis syarah dan penulis matan.

Sebarang perubahan pada teks asal manuskrip dinyatakan secara jelas pada nota kaki. Sebarang penambahan yang memang diperlukan diletakkan dalam dua kurungan siku sebegini [ ]. Beberapa huraian yang bersesuaian juga diletakkan pada nota kaki.

Aṡīr al-Dīn al-Abharī

Aṡīr al-Dīn al-Mufaḍḍal bin ‘Umar al-Abharī wafat pada tahun 663H/1265M. Beliau merupakan seorang tokoh ilmuwan yang ulung. Terdapat perbezaan pandangan berkenaan tempat kelahirannya, sama ada di Mosul atau Samarqand. Beliau diketahui pernah menetap di Khurasan dan Baghdad, kemudiannya berpindah ke Arbela pada tahun 625H/1228M. Di kota Arbela ini, Ibn Khallikān telah mempelajari ilmu fikah daripadanya di madrasah Dār al-Hadīṡ.

Beliau merupakan murid kepada Kamāl al-Dīn ibn Yūnus al-Mawṣilī dan Fakhr al-Dīn al-Rāzī, serta menjadi guru kepada Najm al-Dīn al-Kātibī, penulis al-Risālah al-Shamsiyyah mengenai ilmu mantik. Dari sudut legasi, beliau memainkan peranan yang sangat penting dalam mengukuhkan kaedah penghujahan, falsafah dan teologi al-Rāzī.

Karya beliau yang paling masyhur dalam ilmu mantik ialah Īsāghūjī, yang juga dikenali sebagai al-Risālah al-Aṡīriyyah. Karya ini, bersama-sama kitabnya Hidāyat al-Ḥikmah, telah digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan dari dunia Islam barat hingga ke benua kecil India. Selain itu, beliau turut menulis pelbagai karya lain seperti Ta‘līqah fī al-Khilāf, al-Zīj, Tanzīl al-Afkār dan Kashf al-Ḥaqā’iq.

Kitab Mantik Īsāghūjī

Īsāghūjī merupakan sebuah karya pengenalan ringkas yang amat penting dalam bidang ilmu mantik. Perkataan Īsāghūjī pada asalnya merujuk kepada terma Yunani yang bermaksud “pengenalan”.

Berbeza dengan Isagoge karya Porphyry yang hanya tertumpu kepada lima perkara sejagat (“lima bangsa sekalian”, five universals, al-kulliyyāt al-khams), matan Īsāghūjī karangan al-Abharī membincangkan kesemua bahagian ilmu mantik. Sebahagian pembaca masih keliru dan tidak dapat membezakan antara Isagoge karya Porphyry dengan Īsāghūjī karya al-Abharī, kedua-duanya merupakan dua kitab yang berbeza.

Karya ini telah menjadi teks asas dalam kurikulum pendidikan tradisional sejak abad ke-13, menjadikannya salah satu karya tertua yang terus digunakan secara berterusan di dunia Islam. Kepentingan risalah ini terbukti melalui banyaknya karya syarahan yang dihasilkan oleh para ilmuwan kemudiannya. Antara syarahan yang paling masyhur ialah al-Fawā’id al-Fanāriyyah karangan al-‘Allāmah Shams al-Dīn al-Fanārī dan al-Maṭla‘ Sharḥ Īsāghūjī oleh Shaykh Zakariyyā al-Anṣārī. Selain itu, ia turut digubah dalam bentuk nazam syair oleh al-‘Allāmah ‘Abd al-Raḥmān al-Akhḍarī melalui karyanya al-Sullam al-Munawraq fī al-Manṭiq.

Inilah serba sedikit yang dapat saya sebutkan mengenai ilmu mantik dan manuskrip ini. Selamat membaca.

 

Dr. Naseer Sobree

10 Mei 2026
Kedah

10 January 2026

Apa yang dipelajari dalam "Diploma Perubatan Tradisional Melayu"?

Ramai yang bertanya mengenai subjek dan silibus program Diploma Perubatan Melayu Tradisional (MQA).

Maka di sini saya lampirkan subjek-subjek yang telah ditetapkan oleh pihak MQA, merangkumi subjek-subjek Perubatan Moden, Perubatan Melayu, kaedah penyelidikan saintifik dan latihan klinikal.

Projek mewujudkan diploma ini telah bermula sejak 10 tahun lalu, diketuai oleh Almarhum Dr. Harun Mat Piah.

Pada awalnya projek ini berjalan lancar dan dibuktikan dengan tamatnya pengajian diploma ini versi awal iaitu Diploma Profesional Perubatan Melayu (DPPM, bukan MQA) pada tahun 2017.

Kemudian, projek membangunkan Diploma Perubatan Tradisional Melayu (DPTM) versi MQA diteruskan. Ketika inilah konflik dan krisis dalaman mula berlaku. Keadaan bertambah buruk setelah kewafatan Almarhum Dr. Harun Mat Piah pada tahun 2019.

Keadaan tersebut membuatkan sebahagian ahli kumpulan pembangun diploma ini tersingkir keluar, termasuk saya sendiri. Bahkan saya sendiri pernah menerima surat tindakan undang-undang dalam fasa ini. Alhamdulillah, hal tersebut berjaya diselesaikan dengan baik.

Krisis ini berakhir dengan terhentinya projek ini yang ketika itu sudah menerima akreditasi sementara daripada MQA.

Pada tahun 2022 projek ini disambung semula, namun ia melibatkan pihak yang tidak mempunyai kepakaran dalam Perubatan Melayu dan tidak pernah terlibat dalam projek ini sejak awal.

Hal itu menyebabkan perjalanan diploma ini tidak lancar, bahkan pengisian bagi sesetengah subjek, terutamanya subjek-subjek Perubatan Melayu, menjadi bercampur aduk dengan unsur-unsur pseudosains dan unsur-unsur luaran yang tiada kaitan dengan Perubatan Melayu.

Ketika itu, pelaksanaan diploma ini hampir terhenti sekali lagi kerana ketiadaan pensyarah untuk subjek-subjek dasar dan fundamental dalam Perubatan Melayu.

Maka pada tahun 2023, wakil dari Kolej SPACE menghubungi saya supaya menjadi pensyarah, dan pada tahun 2024 saya pernah dilantik sebagai ketua program untuk menguruskan diploma ini.

Ketika menjadi ketua program ini, banyak usaha pemurnian silibus dilakukan supaya bertepatan dengan kehendak MQA dan bersesuaian dengan ilmu Perubatan Melayu yang autentik.

Akhirnya pada penghujung 2025 pihak MQA datang ke Kolej SPACE untuk membuat penilaian akhir sebelum diploma ini diberikan akreditasi penuh, iaitu pada Januari 2026.

Maka dengan itu, saya berharap pelaksanaan diploma ini selepas ini dilakukan dengan sangat berhati-hati dan teliti, terutamanya dari sudut keaslian dan kemurnian Perubatan Melayu.

Buat masa ini belum ada jaminan kualiti pelaksanaannya, maka saya masih menunggu dan melihat bagaimana pelaksanaannya selepas ini. Jika kesemua aspek dipatuhi, maka saya akan mewar-warkannya kepada semua. Jika tidak, maka tidak.

Semoga kejayaan ini menjadi titik mula bagi pembangunan dan perkembangan Perubatan Melayu yang ilmiah, autentik, saintifik, profesional dan berwibawa. Projek ini perlu dibangunkan juga di institusi-institusi lain yang berkemampuan dan berkelayakan.

Perubatan lain contohnya Perubatan Cina dan Perubatan Ayurveda sudah mencapai tahap ijazah sarjana muda (Bachelor), ijazah sarjana (Master) dan ijazah doktor falsafah (PhD). Perubatan Melayu juga akan sampai ke tahap itu, inshaAllah.

Dr. Naseer Sobree
10 Januari 2026

TAMMAT










09 January 2026

Akreditasi Penuh MQA untuk Diploma Perubatan Tradisional Melayu

ALHAMDULILLAH, dengan ini diumumkan bahawa Diploma Perubatan Tradisional Melayu yang dilaksanakan di Kolej Space UTM Kuala Lumpur telah menerima akreditasi penuh daripada pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Diploma ini telah diusahakan sejak 10 tahun lalu bersama Almarhum Dr. Harun Mat Piah serta sekumpulan penyelidik dan pengamal Perubatan Melayu.

Kelulusan akreditasi penuh ini menjadikannya program Perubatan Melayu berstruktur dan diiktiraf yang pertama di Malaysia, bahkan yang pertama di dunia.

Walaupun program ini menghadapi banyak cabaran dan hampir terhenti di tengah jalan, ia berjaya diselamatkan. Pada saat-saat akhir, saya bersama beberapa rakan berjaya memurnikan program ini daripada unsur-unsur pseudosains dan unsur-unsur luaran yang tiada kaitan dengan Perubatan Melayu.

Diharapkan pelaksanaan serta pengambilan pelajar dan pensyarah selepas ini adalah berdasarkan sistem Perubatan Melayu yang sebenar, supaya keaslian sistem ini terjamin dan terpelihara.

Buat masa ini belum ada jaminan kualiti pelaksanaannya, terutamanya dari sudut silibus. Sekiranya program Diploma Perubatan Tradisional Melayu ini dilaksanakan mengikut silibus dan standard yang benar, maka saya akan war-warkannya kepada mereka yang berminat.

Tahniah diucapkan kepada generasi pertama diploma ini yang akan bergraduasi tidak lama lagi. Terima kasih kepada semua yang terlibat dan membantu dalam menjayakan program ini.

Dr. Naseer Sobree
9 Januari 2026

TAMMAT