Inilah hikayat insan juga manusia,
Baginya empat alam di Alam Dunia,
Kisah insan selain Adam, Hawa dan Isa,
Kucoret khusus untuk kalian-kalian semua.
Manusia bermula dengan Alam Mineral, iaitu ketika ia masih dalam bentuk nutrien yang dihadam oleh ibu dan bapanya. Nutrien itu membentuk benih-benih yang akhirnya tersemai di tanah rahim, lalu ia tumbuh sebagai janin. Dengan itu, bermulalah Alam Tumbuhan bagi manusia, hanya tumbuh tanpa gerak.
Kemudian, Alam Hayawan bagi manusia bermula apabila ia dilahirkan. Ia hanya tahu makan, minum, tangis dan gerak. Sifat-sifat itu tidak ubah seperti hayawan. Manusia mula memasuki Alam Manusia ketikamana ia mumayyiz, tahu membezakan antara baik dan buruk.
Setelah jasadnya sempurna, maka ia bersedia untuk menerima aqal yang mulia, iaitu ketika baligh mendatanginya. Dengan jadinya manusia itu sebagai manusia, maka layaklah ia menerima taklifan daripada Tuhan, amanah untuk mengimarahkan alam semesta, demi kelangsungan ibadah kepada Sang Pencipta.
TAMMAT