SOALAN;
Assalaamu'alaikum,
Sebelum memulai soalan yang ingin saya sampaikan saya ingin memohon maaf sekiranya ianya tidak berkenan. Juga terima kasih telah menyediakan satu platform yang dapat kita gunakan sebagai tempat berbagi ilmu dan meluaskan serta mendalami ilmu yang mudah-mudahan akan mencapai satu tahap peningkatan iman dan yaqin kita kepada pemilik ilmu, Allah azza wajalla.
Soalan yang ingin saya bangkitkan adalah berkenaan penamaan asal sistem perubatan Medikologi. Mengapa ia dikatakan merujuk kepada perubatan "arab"? Sementara sebahagian besar ilmu perubatan tersebut dikembangkan oleh saintis Islam dizaman ummat Islam menghargai setiap aspek keilmuan. Para saintis Islam tersebut juga tidak semua berbangsa arab. Mungkin kita perlu mendefinasikan ulang sumber ilmu perubatan ini.
Saya melihat ada perbedaan yang sangat ketara dalam memulai suatu kajian di dalam Islam dan di luar Islam. Sedikit pengalaman saya dibidang penyelidikan yang menggunakan kaedah modern, ada beberapa perkara yang sangat asas yang tidak disentuh dalam memulai, membuat pengukuran sehingga pengambilan suatu keputusan. Dari beberapa buku sejarah dan biografi para saintis Islam serta mendengar penyampaian dari beberapa ulama, saya dapati perkara asas tersebut seakan telah hilang atau sengaja dihilangkan yang menyebabkan, seperti tertulis dalam journal Nature tahun 90'an yang menyatakan para pengkaji ilmu sain di Europe telah memilih menjadi atheis dan pertambahan bilangan saintis yang menjadi atheis tersebut dalam hitungan eksponensial. Semoga Allah selamatkan iman kita.
Oleh sebab itu, saya berharap platform Medikologi ini akan mendedahkan kita bagaimana cara para saintis Islam tersebut mengkaji ilmu dan melihat ayat-ayat kebesaran Allah serta menterjemahkannya kepada sesuatu bidang keilmuan yang menjadi sebab kebaikan yang banyak bagi ummat.
Sebagaimana saya pernah mendengar satu perkara bahwa Maulana Umar Palampuri r.a.h. pernah mengatakan satu perkara berkenaan kemajuan ilmu yang telah dicapai zaman kegemilangan Islam di Baghdad, lebih kurang ianya seperti berikut, apabila tidak dimusnahkan tentara Mongol segala naskah ilmu dan alim ulama di Baghdad, berkemungkinan teknologi hari ini 3500 tahun lebih maju kehadapan. Tapi bagai mana pula iman kita menghadapi dan menterjemahkan majunya teknologi serta ilmu tersebut. Semoga Allah selamatkan iman kita.
Demikian soalan saya berkenaan asal ilmu perubatan Medikologi dan juga harapan saya dengan wujudnya platform keilmuan ini.
Mohon maaf sekali lagi saya minta jika ianya tidak berkenan dihati.
------------------------------------------------------------------
JAWAPAN;
Wa'alaykumussalam Wahai Saudaraku
1. Terima kasih atas soalan yang sangat menarik dan membuka minda ini. Walaupun soalan ini bukanlah soalan perubatan, namun ia sangat penting kerana ia berkait dengan dasar Medikologi itu sendiri, khususnya dari sudut etimologi dan epistemologi.
2. Berkenaan soalan saudara mengenai istilah "Perubatan Arab", kita perlu jelas mengenai sudut yang diguna pakai dalam pemilihan istilah tersebut. Perubatan Greek-Arab sebenarnya ditentukan dari sudut bahasa bagi sistem perubatan yang dijadikan rujukan.
3. Jadi, Perubatan Arab bukanlah bererti ia dibangunkan dan dikembangkan oleh orang Arab atau orang Islam, sebaliknya ia menunjukkan bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar bagi sistem perubatan tersebut.
4. Perubatan Greek pula merujuk kepada sistem perubatan yang ditulis dalam Bahasa Greek, khususnya oleh Hippocrates dan Galen.
5. Dalam sejarah perubatan pada era kegemilangan Kerajaan Islam, individu yang terlibat dalam membangunkan ilmu-ilmu bukanlah semata-mata orang Arab atau orang Islam, bahkan terdapat ramai sekali tokoh-tokoh perubatan pada ketika itu yang berbangsa lain dan beragama lain, khususnya agama Yahudi dan Masihi.
6. Saya bawakan beberapa contoh, antaranya ialah Abu Ya'qub Sulaiman bin Ishaq Al-Isra'ili yang merupakan seorang Yahudi, beliau mengarang kitab yang sangat penting dalam Perubatan Arab iaitu al-Aghziyah wal-Adwiyah (Pemakanan Dan Pengubatan).
7. Contoh lain ialah Ali Ibnu Abbas Al-Majusi yang berasal daripada keturunan yang beragama Majusi, namun beliau beragama Islam, mengarang kitab yang sangat hebat iaitu al-Kamil fis-Sina'atit Tibbiyyah (Kitab Lengkap Dalam Seni Perubatan). Kitab tersebut tidak tergugat keududukannya sebagai rujukan nombor satu, melainkan setelah munculnya al-Qanun oleh Ibnu Sina.
8. Contoh seterusnya, Musa Bin Maimun yang beragama Yahudi, mengarang pelbagai kitab, antaranya ialah Fi Tadbiris Sihhah (Pengurusan Kesihatan) dan Maqalah Fi Ba'dil Arad wal-Jawab Anha (Maqalah Tentang Sebahagian Simptom Dan Penjelasannya).
9. Dan tokoh yang tidak asing dan paling penting dalam Perubatan Arab, iaitulah Ibnu Sina, seorang yang berbangsa Parsi, bukan Arab. Pengarang kitab al-Qanun Fit Tibb (Kanun Perubatan). Kesemua kitab perubatan yang saya sebutkan tadi ditulis dalam Bahasa Arab.
10. Itu adalah berkenaan istilah Perubatan Arab. Adapun mengenai "pengislaman" ilmu perubatan, bukanlah sesuatu yang sukar. Kerana ilmu itu sendiri pada asalnya bersifat neutral dan fitrah, ahli-ahlinyalah yang mecorakkannya sama ada bersifat tawhid atau syirik atau kufur.
11. Usaha "pengislaman" dalam Medikologi jelas terlihat dalam penyusunan asas-asas Medikologi. Sumber Medikologi ialah wahyu (revelatif), aqal (rasional) dan deria (empirik). Prinsipnya ialah tajmi' (integratif) dan takhyir (eklektik). Rukunnya pula menetapkan Tuhan (Allah) sebagai sabab atau illah atau punca atau faktor yang hakiki, yang disebut sebagai illah haqiqiyyah. Adapun perkara lain selain Tuhan, hanyalah sebagai punca sampingan atau illah aradiyyah.
TAMMAT