22 March 2015

ILMUWAN PENGHUKUM

1. Pada sesuatu zaman, dalam mana-mana bidang ilmu, pasti ada satu aliran yang menjadi dominan. Sama ada kerana aliran tersebut menjadi pegangan ramai, atau ia memegang kuasa, atau kedua-duanya sekali.

2. Aliran sebegitu dinamakan aliran arus perdana. Dan aliran sebegitu, pada kebiasaannya cenderung untuk menekan dan dan menghentikan aliran-aliran lain. Kecenderungan itu tiadalah salahnya jika ia ialah kebenaran.

3. Apa itu kebenaran? Kebenaran ialah sesuatu yang bertepatan dengan realiti.

4. Apabila aliran tersebut tidak benar, atau tidak mutlak benarnya, maka tidak boleh ia berkecenderungan seperti yang telah dinyatakan.

5. Hal ini biasanya terjadi dalam urusan keagamaan, di mana aliran arus perdana akan menekan aliran lain dengan pelbagai tuduhan seperti kufur, shirik, bid'ah, khurafat dan sesat, serta dengan pelbagai hukuman seperti denda dan penjara.

6. Masing-masing punyai hujjah dan dalil. Isu qat'i yang mereka sepakati diabaikan, isu zanni yang mereka selisihi dibesarkan. Hasilnya ialah permusuhan dan pergaduhan.

7. Hal yang sama turut berlaku dalam urusan perubatan. Sebahgaian pengamal aliran arus perdana sentiasa menekan aliran-aliran lain. Pelbagai tuduhan dilemparkan, seperti tidak diiktiraf, tidak saintifik, tiada bukti dan tiada kelulusan.

8. Sebenarnya masing-masing punyai bukti dan fakta. Jika dikatakan tiada bukti, perhatikanlah sudah berapa banyak kes yang sembuh dengan aliran lain. Jika dikatakan tidak saintifik, perhatikanlah berapa banyak ubatan aliran arus perdana yang tidak saintifik, yang masih tidak jelas cara kerjanya, atau dalam istilah farmakologi disebut sebagai ubatan yang tidak diketahui Mekanisma Tindakan (unknown Mechanism of Action, MOA).

9. Ubatan yang tidak jelas MOA itu tetap digunakan kerana hasil kerjanya yang jelas dan pasti. Hal yang sama turut berlaku pada ubatan aliran lain. Jadi, apa isu yang sebenarnya. Agak sukar untuk sesuatu aliran memberikan pengiktirafan dan kelulusan kepada aliran-aliran lain, jika itu yang dipinta.

10. Perkara usul dan qat'i dalam perubatan ialah, usaha untuk mengekalkan kesihatan dan menghilangkan kesakitan. Adapun perkara furu' dan zanni dalam perubatan ialah, cara untuk mencapai perkara usul dan qat'i itu.

11. Kesimpulannya, bersikap adil dan terbukalah dalam menilai sesuatu aliran, khususnya apabila masing-masing ada hujah tersendiri yang kuat. Bahkan, adakalanya sesuatu aliran itu terhasil daripada aliran lain yang lebih awal daripadanya. Bukakan minda, luaskan jiwa.

"INTEGRATIF & EKLEKTIK"