22 March 2015

SUMBER HIKMAH AMALIYYAH MENURUT IBNU SINA

1. Sebahagian pengkaji mengkritik golongan ahli falsafah (falasifah) hanya kerana namanya falsafah. Sedangkan dari sudut pendalilan, tidaklah banyak bezanya antara golongan Falasifah dan Mutakallimun (theologist), masing-masing cuba membawa hujah yang burhan, terbaik dan harmoni. Sikap pukul rata terhadap sesuatu aliran sangatlah tidak matang.

2. Ketika sedang melakukan tanqih terhadap karya Ibnu Sina yang jarang dikaji iaitu 'Uyunul Hikmah, saya dapati kenyataan beliau tentang sains kemanusiaan sangat jelas dan menepati Islam. Ibnu Sina memang kurang menyentuh isu-isu sosial seperti isu pemerintahan dan kewangan negara.

3. Mungkin ada yang menganggap itu satu kekurangan, namun bagi saya ia merupakan sikap yang terbaik. Hal ini adalah kerana beliau melibatkan diri dalam bidang yang sememangnya patut dikaji oleh manusia iaitu hukum-hukum akal dan hukum-hukum alam. Adapun hukum-hukum kemanusiaan, etika dan sosial, beliau terus menyandarkannya kepada hukum shara' yang telah Tuhan tetapkan.

4. Ini bererti hukum-hukum kemanusiaan secara umumnya bukanlah hak manusia untuk menentukannya, kecuali untuk beberapa perkara yang memang jelas maslahah-mafsadahnya, itupun dengan sharat ia selari dengan usul-usul shara'. Burhan saya dalam hal ini ialah, sesuatu itu (manusia) hanya meliputi dan menguasai apa yang di bawahnya sahaja, adapun apa yang sama dengannya atau yang di atasnya maka tidaklah diliputi dan tidak juga dikuasai.

Petikan 'Uyunul Hikmah bahagian Tabi'iyyat;

والحكمة المتعلقة بالأمور النظرية التي إلينا أن نعلمها وليس إلينا أن نعملها تسمى حكمة نظرية. والحكمة المتعلقة بالأمور العملية التي إلينا أن نعلمها ونعملها تسمى حكمة عملية. وكل واحدة من الحكمتين تنحصر في أقسام ثلاثة فأقسام الحكمة العملية حكمة مدنية وحكمة منزلية وحكمة خلقية. ومبدأ هذه الثلاثة مستفاد من جهة الشريعة الإلهية وكمالات حدودها تستبين بالشريعة الإلهية وتتصرف فيها بعد ذلك القوة النظرية من البشر بمعرفة القوانين العملية منهم وباستعمال تلك القوانين في الجزئيات.

"Hikmah (philosophy/wisdom) yang berkait dengan perkara-perkara nazariyyah (theoretical) yang perlu kita tahu dan kita tidak perlu mengamalkannya, dinamakan hikmah nazariyyah (theoretical wisdom). Hikmah yang berkait dengan perkara-perkara 'amaliyyah (practical) yang perlu kita tahu dan kita perlu mengamalkannya, dinamakan hikmah 'amaliyyah (practical wisdom). Setiap satu daripada kedua-dua hikmah itu tertakluk kepada tiga pembahagian. Pembahagian hikmah 'amaliyyah ialah hikmah madaniyyah (civil wisdom), hikmah manziliyyah (family wisdom) dan hikmah khulqiyyah (personal wisdom).

Dasar bagi ketiga-tiga hikmah ini adalah bersumberkan shari'ah ilahiyyah. Kesempurnaan undang-undangnya diperjelaskan oleh shari'ah ilahiyyah. Kemudian kekuatan nazariyyah (rational/intellect) pada manusia menguruskannya dengan mengetahui peraturan-peraturan 'amaliyyah daripadanya dan menggunakan peraturan-peraturan tersebut dalam perkara-perkara juz'iyyat (particulars)."

TAMMAT