Bismillahirrahmanirrahim
1. Telah bertanya seorang sahabatku kepadaku, mengenai Jauhar dan juga Arad. Akan kujelaskannya kepadamu wahai sahabatku Amir Wijaya, secara ringkas dan tangkas, inshaAllah. Semoga kamu dikurniakan ilmu yang luas, serta amal yang ikhlas.
2. Ketahui olehmu hai sahabatku, apabila kamu merenung, bertaaqqul dan bertafakkur tentang sesuatu, akan timbul beberapa idea dan makna, di aqal juga mindamu. Renungan Pertama itulah yang menghasilkan Maqulat. Adapun renunganmu yang lebih dalam dan daqiq, ia dinamakan Renungan Kedua, tidak perlu kusebutkannya di sini.
3. Maqulat itu, nama lainnya Kategori dan Predikat. Jumlahnya pula ada sepuluh, namun jumlah ini bukanlah mutlaq, terdapat khilaf di sana sini, bahkan aku sendiri punyai idea yang tersendiri.
4. Jika sesuatu maqulat itu wujud secara berdikari, tidak bergantung pada maqulat yang lain, maka ia dinamakan Jauhar atau diri. Jika sesuatu maqulat itu wujud secara berdikalain, bergantung pada maqulat yang lain, maka ia dinamakan Arad atau ciri.
5. Biji saga, ada diri, ada ciri. Dirinya wujud secara berdikari, tanpa bergantung pada cirinya yang merah dan keras. Ciri-ciri itu pula, yakni merah dan keras, kedua-duanya wujud secara berdikalain, dengan makna mereka perlukan diri biji saga untuk wujud, mereka tidak mampu wujud tanpa diri biji saga.
6. Ahli Kalam memandang Jauhar itu asalnya Jauhar Simplex, setelah bercantum terhasillah Jauhar Komplex yang dinamakan jisim, sebahagiannya kasar seperti minera, flora, fauna dan humana, sebahagiannya pula halus seperti jin dan para malaikat.
7. Ahli Hikmah pula memandang Jauhar itu terdiri daripada beberapa bahagian. Jisimnya terdiri daripada Bahan dan Rupa, dibantu oleh Aqal serta Jiwa. Khilaf mereka tiada sudahnya, namun kupasti ada jawapannya.
8. Sahabatku, setelah ditolak satu Jauhar, berbakilah sembilan Arad. Ada dua Arad yang wujud tanpa perlu dibandingkan dengan maqulat lain iaitu Arad Takrelatif, tujuh Arad lagi wujud dengan perbandingan iaitu Arad Relatif. Dua Arad Takrelatif itu ialah Kuantiti dan Kualiti.
9. Kuantiti ada dua bahagian, yang terpisah dan yang tercantum. Yang terpisah itu dinamakan bilangan, sepertimana ketika kamu membilang biji-biji saga satu demi satu. Yang tercantum itu dinamakan ukuran, iaitu panjang garisan, luas permukaan, isipadu jisim dan juga tempoh masa.
10. Kualiti ada empat bahagian. Pertamanya berkaitan kederiaan seperti warna, bunyi, bau, rasa dan suhu. Keduanya berkaitan kejiwaan seperti berani, takut, suka, benci, alim dan jahil. Ketiganya berkaitan kesediaan seperti keras, lembut, tajam dan tumpul. Keempatnya berkaitan kekuantitian seperti kepasangan bilangan, serta bentuk-bentuk bagi garisan, permukaan dan jisim.
11. Tujuh Arad Relatif masih berbaki duhai sahabatku, lima daripadanya berkait dengan perpegunan iaitu Statik, manakala dua daripadanya berkait dengan pergerakan iaitu Dinamik. Lima yang Statik itu ialah Plasa, Tima, Relasi, Postur dan Posesi.
12. Plasa dan Tima merujuk kepada tempat dan masa, kedua-duanya sangat mudah, contohnya Ubaidah tinggal di Kedah, pada bulan yang sudah. Relasi pula berkaitan hubungan dua pihak atau lebih yang saling berkait, contohnya kekhaliqan dan kemakhluqan, keanakan dan kebapaan, kesuamian dan keisterian, keguruan dan kemuridan, kemajikanan dan kepekerjaan. Postur merupakan perbandingan kedudukan juzuk-juzuk sesuatu diri, contohnya berdiri dan duduk. Posesi ialah pemilikan sesuatu diri terhadap sesuatu yang meliputinya dan berpindah bersamanya, secara seluruh atau separuh, contohnya pemilikan Ubaidah terhadap pakaiannya serta cincin dan kasutnya.
13. Perhatikanlah olehmu, bahawasanya Arad-Arad Relatif ini memerlukan sesuatu yang lain untuk wujud. Untuk menyatakan Plasa dan Tima bagi Ubaidah, kamu memerlukan Ubaidah, tempatnya dan masanya. Sedangkan untuk menyatakan Kuantiti Ubaidah yang berjumlah seorang, kamu tidak memerlukan sesuatu yang lain, cukup dengan membilangnya semata-mata, lalu akan kamu dapat berapa bilangannya.
14. Bandingkan lagi wahai Amir, untuk mengatakan Relasi Ubaidah sebagai keanakan atau kemuridan, kamu perlukan sesuatu yang berciri kebapaan atau keguruan. Sedangkan untuk mengatakan Kualiti Ubaidah yang alim, berani, dan putih, kamu tidak perlukan sebarang bandingan, cukup dengan memerhatikan dan mengenali Ubaidah itu semata-mata, lalu tahulah kamu akan Kualitinya itu.
15. Tibalah masanya untuk kunyatakan Arad Relatif jenis kedua, iaitu Arad Relatif yang Dinamik lagi bergerak. Arad yang Dinamik ada dua, sepertimana yang kamu tahu itulah bakinya. Yang pertamanya ialah Aktiviti, yakni Arad yang melibatkan pergerakan sesuatu diri, sama ada pergerakan yang memerlukan mangsa seperti memakan dan memotong, ataupun pergerakan yang tidak memerlukan mangsa seperti berjalan dan berlari.
16. Arad yang terakhir ialah Pasiviti, iaitu pergerakan sesuatu diri sebagai mangsa kepada Aktiviti pemangsa, seperti dimakan dan dipotong. Jika kamu wahai Amir, memerhatikan kedua-dua Arad yang terakhir ini, nescaya kamu sedar bahawa Aktiviti dan Pasiviti itu perlukan perbandingan. Aktiviti perlukan sekurang-kurangnya dua detik untuk membuktikan wujud pergerakan, dengan satu detik semata-mata, tiada diketahui diri itu bergerak atau berpegun. Pasiviti pula perlukan perbandingan detik-detik, juga perbandingan antara diri mangsa dan diri pemangsa. Satu detik bukanlah satu saat.
17. Inilah dia asas ilmu Maqulat, ilmu yang sangat penting untuk memahami segala maujudat. Adapun aku duhai sahabat, telah kubangunkan rangka Maqulat. Kususun ia dengan penuh rapi, lalu kumasukkannya dalam Existologi. Dengan merenung pada diri dan ciri, kudapati semuanya dalam tiga ajnas yang tinggi. Kunamakan mereka Materiologi, Statologi dan juga Dinamologi.
18. Setakat ini sahaja nukilanku wahai Amir. Semoga aku dan kamu, terus dalam reda Ilahi, inshaAllah.
- Naseer Sobree -
TAMMAT