1. Bersempena dengan Cetakan Keenam buku saya yang berjudul RISALAH ILMU PERUBATAN, saya ingin kongsikan bersama anda tentang asal-usul kejadian buku ini.
2. Buku ini wujud jauh lebih awal daripada Baytul Hikma itu sendiri. Buku ini siap ditulis pada tahun 2012 di Mesir ketika saya berumur 22 tahun, manakala Baytul Hikma wujud pada tahun 2014.
3. Buku ini asalnya bukanlah buku, sebaliknya hanyalah sebuah nota peribadi saya, iaitu nota-nota saya sepanjang melakukan kajian secara persendirian, yang bermula sejak umur saya dalam lingkungan 20 tahun.
4. Apa yang saya kaji? Saya melakukan kajian perbandingan (comparative study) antara Perubatan Greek-Arab dan Perubatan Moden.
5. Sering terdengar Perubatan Klasik berbeza dengan Perubatan Moden. Benar, itu tidak dinafikan. Namun itu tidaklah bererti ia berbeza secara total. Bahkan setelah kajian perbandingan dilakukan, terlalu banyak persamaan yang saya temui.
6. Antara persamaan yang paling penting antara kedua-dua sistem perubatan ini ialah konsep Endodermisme-Shahwaniyyah, Mesodermisme-Ghadabiyyah dan juga Ektodermisme-Aqliyyah.
7. Di samping mempelajari ilmu perubatan, saya juga mengajarkannya kepada mereka yang berminat, melalui kelas-kelas dan kursus-kursus. Ketika inilah saya mula menulis nota-nota saya secara tersusun.
8. Saya himpunkan segala penemuan saya itu dalam sebuah nota yang formal. Kemudian nota itu saya persembahkan dalam bentuk kertas kerja, yang saya namakan "Asas-Asas Ilmu Perubatan". Kertas kerja itulah yang saya bentangkan dalam kelas-kelas dan kursus-kursus.
9. Kertas kerja itu sentiasa diubah dan ditambah, sehingga akhirnya ia menjadi terlalu tebal. Lalu saya membuat keputusan untuk menjadikannya sebuah buku, yang saya namakan "Risalah Ilmu Perubatan".
10. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan percetakan buku itu melalui bantuan beberapa orang sahabat saya yang sangat mulia hati mereka. Bahkan ada yang terus menghalalkan ribuan Junaih yang saya gunakan sebagai modal percetakan. Katanya;
"Saya pun nak tumpang pahala darinya."
11. Akhirnya tercetaklah 1000 naskhah Risalah Ilmu Perubatan buat pertama kalinya di Bumi Mesir, Bumi Anbiak.
12. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung dalam penghasilan buku ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat, insha-Allah.
Sekian, terima kasih.
.