24 November 2015

"MESIN LOGIK"






"MESIN LOGIK"


Soalan;

Apakah 1+1=2 bersifat tetap? Bagaimana pula logik dilihat dalam peristiwa api yang tidak membakar Nabi Ibrahim ? Bagaimana pula dengan laut merah yang terbelah? Bagaimana dengan peristiwa Nabi Khidir yang membunuh anak kecil? Bagaimana dengan peristiwa Isra Miraj Nabi Muhammad SAW? Apakah di sana terpakai hukum logik? Saya kurang setuju sekiranya logik adalah penghujung jalan mencapai kebenaran... Maaf, sekadar berhajat kepada penjelasan tuan..


Jawapan;

Pertamanya tuan perlu jelas, apa itu logik. Logik yang saya maksudkan di sini bukanlah logik yang sering disalah guna oleh orang awam dalam percakapan seharian.

Kebanyakan orang awam memahami logik sebagai sesuatu yang bertentangan dengan hukum sains. Apabila sains mengatakan objek berat mesti di bawah, objek ringan mesti di atas kerana hukum graviti, maka masharakat akan mengatakan tidak logik apabila hukum itu dilanggar, iaitu apabila gunung berterbangan di atmosfera dan kapas terhempas ke bumi. Begitulah juga dengan hukum api membakar, pisau memotong dan lain-lain.

Logik yang saya maksudkan ialah satu fitrah dan kemampuan yang Allah kurniakan kepada manusia untuk memproses dan menilai maklumat daripada pelbagai sumber, kemudian disimpulkan menjadi ilmu, pengetahuan dan kebenaran.

Sumber maklumat (sumber epistemologi), seperti yang telah saya sebutkan, ada tiga. Revelasi (wahyu), Rasional (akal) dan Empirik (deria). Wahyu itu merujuk kepada apa-apa sahaja yang diturunkan oleh Tuhan kepada makhluk-Nya, secara langsung atau tidak langsung, melalui Nabi atau bukan Nabi.

Akal pula adalah sumber ilmu yang terpendam dalam diri kita yang mampu memikirkan idea dan membayangkan imej. Hasil pemikiran dan pembayangan akal itu, secara sistematiknya menghasilkan ilmu matematik.

Deria pula ialah sumber ilmu yang dicapai melalui cerapan pancaindera kita terhadap alam ini, sama ada menggunakan alat atau tidak. Hasil pencerapan itu, secara sistematiknya menghasilkan ilmu sains.

Itu mengenai sumber ilmu. Ketiga-tiganya bagaikan bahan mentah yang belum diproses untuk dijadikan produk yang dinamakan "ilmu". Lalu "logik" digunakan sebagai mesin yang akan memproses maklumat itu untuk menghasilkan ilmu. Logik memproses maklumat melalui dua cara yang utama, iaitu Deduksi (qiyas/silogisme) dan Induksi (istiqra'/eksperimen).

Jadi, logik adalah alat untuk memproses maklumat daripada tiga sumber itu tadi. Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan hukum deria atau sains, kita katakan ianya "tidak empirik" atau "tidak saintifik", bukannya "tidak logik". Apabila ia berlawanan dengan hukum akal atau matematik, kita katakan ianya "tidak rasional" atau "tidak matematikal", bukan "tidak logik". Apabila berlawanan dengan hukum wahyu atau agama, kita katakan ianya "tidak revelatif" atau "tidak kewahyuan", bukannya tidak logik.

Sesuatu itu hanya dikatakan "tidak logik" sekiranya ia melanggar hukum logik, khususnya hukum deduksi dan hukum induksi. Maka, kajilah apa itu deduksi dan induksi.

TAMMAT