15 October 2020

CORETAN KENANGAN



• Ketikamana tiada pihak yang ingin bangunkan Perubatan Melayu secara sistematik suatu masa dahulu, saya dijemput untuk sama-sama membangunkannya. Atas dasar tanggungjawab dan sangka baik, maka saya terima jemputan tersebut.

• Saya diusung ke sana sini untuk memberikan taklimat dan penerangan mengenai Perubatan Melayu. Ramai pihak yang terlibat, termasuklah almarhum Dr. Harun Mat Piah, almarhum Dr. Abdul Ghani Hussain dan Dr. Rotina Abu Bakar.

• Saya masih ingat ketikamana Dr. Ghani menarik diri, kemudian Dr. Rotina menarik diri, maka sayalah yang diberikan tugas untuk menyediakan nota-nota dan soalan-soalan peperiksaan bagi subjek Anatomi dan Fisiologi untuk program Diploma Profesional Perubatan Melayu.

• Kemudian saya bersama-sama beberapa orang sahabat, antaranya Ustaz Abd Hadi, Ustaz Nornizam dan Encik Hafiz Ghani, telah sama-sama menyusun silibus Perubatan Melayu (Diploma Perubatan Tradisional Melayu MQA). Saya secara khusus menyusun silibus untuk subjek-subjek Perubatan Moden seperti Biokimia, Histologi, Anatomi, Fisiologi, Patologi dan Mikrobiologi.

• Komitmen tetap saya berikan meskipun diuji dengan kehilangan bapa tercinta. Tidak lama kemudian diuji pula dengan kehilangan adik tersayang. Selaku anak sulung bagi lapan beradik, maka semakin beratlah tanggungjawab saya.

• Ketika mana saya menyatakan kerisauan tidak mampu membayar yuran, dikatakan bahawa kita menggunakan kaedah infaq dan waqaf. Maka saya teruskan segala komitmen tanpa sebarang kerisauan.

• Akhirnya, secara tiba-tiba saya tidak lagi dilibatkan tanpa sebarang makluman. Dr. Harun Mat Piah terkejut setelah mengetahui bahawa saya tidak lagi dilibatkan dalam usaha tersebut.

• Setelah beberapa tahun berhempas pulas menyara keluarga, apa yang saya terima ialah "surat istimewa". Surat yang mengingatkan kembali kepada memori masa lalu.

• Surat yang ingin membawa saya ke mahkamah jika tidak dapat menyelesaikan bayaran yuran selewat-lewatnya hujung bulan ini.

• Maka ibu saya, ibu tunggal yang penyayang, menawarkan untuk memajak gelang emasnya, sambil menghubungi saudara-mara memohon bantuan.

• Walau apa pun yang terjadi, saya akan teruskan perjalanan hidup ini sepertimana yang telah Allah aturkan.

• Hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu dan berharap.

TAMMAT

Naseer Sobree
15 Oktober 2020
Pulau Pinang


PENAFIAN

Saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap silibus yang telah disusun itu (Diploma Perubatan Tradisional Melayu MQA), kerana secara tiba-tiba saya tidak lagi dilibatkan tanpa sebarang makluman. Saya tidak bertanggung jawab sekiranya terdapat sebarang pengubahsuaian pada silibus tersebut.



PENGUMUMAN PENTING

• Susulan coretan semalam, saya mendapat info bahawa ramai lagi sahabat-sahabat saya di luar sana yang telah menerima surat yang sama.

• Oleh itu, mana-mana individu yang pernah mengambil Diploma Profesional Perubatan Melayu (DPPM) Kohort 1 di UTMSPACE yang menerima surat tuntutan bayaran dalam kadar segera tanpa sebarang notis awal atau amaran awal, serta pernah dijanjikan dengan dana infaq dan waqaf, anda semua diseru agar menghubungi Encik Hafiz Ghani untuk tindakan selanjutnya.

• Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghubungi saya untuk memberikan sokongan dan bantuan. Saya amat terharu dengan sokongan kalian. Bahkan ramai juga individu yang tidak saya kenali secara dekat turut memberikan sokongan. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian.

• Sekian, terima kasih.

Naseer Sobree
16 Oktober 2020
Pulau Pinang


Tag: Diploma Profesional Perubatan Melayu, Diploma Perubatan Tradisional Melayu MQA, Kolej Space UTM, Norhissam Mustafa, Akademi Tahfiz Medik Antarabangsa (ATMeDIK), Kompleks Penyelidikan dan Pendidikan Ar-Rahmah (KPPAR)

09 April 2020

Masalah Perubatan Melayu



MASALAH PERUBATAN MELAYU

Assalamu‘alaikum dan selamat pagi. Semoga semuanya sihat-sihat belaka. Maaf saya tulis panjang sikit pagi ini.

Berkenaan Perubatan Melayu, kita ada beberapa masalah. Semua masalah itu boleh diringkaskan kepada dua, pertamanya masalah luaran, keduanya masalah dalaman.

MASALAH LUARAN

Masalah luaran melibatkan banyak pihak, yang paling utama ialah pihak berautoriti yakni kerajaan, kementerian dan perundangan.

Masalah pihak berautoriti ada dua, pertamanya mereka tidak tahu disiplin Perubatan Melayu yang sebenar, keduanya mungkin sebahagian mereka bersikap bias atau tidak adil terhadap Perubatan Melayu. Namun, masalah kedua itu mungkin berpunca daripada masalah pertama, yakni mereka tidak tahu disiplin Perubatan Melayu, lalu mereka terpaksa menolak, menangguh atau menyekat sebahagian disiplin Perubatan Melayu yang difahami secara salah.

Untuk masalah pertama, penyelesaiannya ialah dengan membentangkan kepada mereka mengenai disiplin Perubatan Melayu yang sebenar. Jika hal ini dilakukan, sepatutnya tiada lagi masalah, melainkan ada masalah bias. Untuk masalah bias, penyelesaiannya adalah dengan cara lembut seperti memujuk, atau dengan cara tegas seperti berhujah. Namun, selagi disiplin Perubatan Melayu tidak dibangunkan, selagi itulah masalah pertama dan kedua boleh berulang.

Ringkasnya, disiplin Perubatan Melayu perlu dibangunkan oleh mereka yang terlibat dengannya, yakni tugas pihak dalaman.

MASALAH DALAMAN

Masalah dalaman merujuk kepada masalah pengamal dan pengkaji Perubatan Melayu serta sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dalam bidang ini.

Masalah dalaman secara umumnya ada dua iaitu masalah ilmu dan masalah amal.

Masalah utama dari sudut ilmu ialah ketiadaan disiplin Perubatan Melayu yang sistematik dan holistik (lengkap). Sebenarnya disiplin Perubatan Melayu itu wujud, sama ada secara bertulis dalam manuskrip atau secara warisan daripada para Tobib dan Tobibah Melayu. Namun, kesemua ini tidak disusun semula sebagai satu disiplin ilmu.

Punca utama mengapa disiplin Perubatan Melayu belum berjaya diwujudkan ada tiga, iaitu masalah pengetahuan (‘aqliyyah), masalah keegoan (ghaḍabiyyah) dan masalah periuk nasi (shahwāniyyah).

Masalah pengetahuan bermaksud ada yang tidak tahu bahawa disiplin itu wujud lalu dia menafikan disiplin itu, bahkan menyangka apa yang diamalkannya sekarang itulah Perubatan Melayu. Atau mungkin juga dia tahu ianya wujud, tapi dia tidak tahu di mana ianya wujud.

Jika kita lihat Perubatan Cina, India (Ayurveda, Siddha), Siam dan Homeopati, kesemua ini mempunyai disiplin ilmunya yang standard dan seragam di mana-mana sahaja. Contohnya ialah konsep unsur, cecair badan, organ dan tenaga (qi, prana), kesemua ini seragam dalam kesemua buku teks perubatan tersebut. Jika mereka berbeza, hanyalah dalam urusan pelaksanaan kepada para pesakit secara spesifik, adapun dalam urusan disiplin ilmu secara umum, kesemuanya adalah sama. Jika ada khilaf sekalipun, ia tetap tidak terkeluar daripada kerangka disiplin itu.

Bagaimana dengan Perubatan Melayu? Sehingga ke saat saya menulis ini, saya belum menemui satu pun buku teks Perubatan Melayu yang betul-betul sistematik, holistik dan standard. Sama ada memang tiada, atau masing-masing menganggap apa yang diamalkannya itulah disiplin Perubatan Melayu.

Masalah keegoan bermaksud ada yang tahu disiplin ini wujud dan dia tahu di mana untuk dapatkannya, tetapi keegoannya menghalang dirinya daripada mengangkat disiplin itu sebagai disiplin yang sebenar. Orang sebegini tidak sanggup melihat ada pihak lain mengangkat disiplin yang sebenar itu, kerana dia mahu dia sendiri yang mengangkatnya. Jika ada pihak lain yang mengangkatnya, maka dia akan abaikannya, atau dia akan mengangkat sesuatu yang sebenarnya bukanlah disiplin Perubatan Melayu. Jika pengangkat itu sudah tiada, barulah dia cuba mengangkatnya, supaya dianggap dialah yang mengangkatnya, bukan orang lain.

Masalah periuk nasi bermaksud, seseorang itu mungkin tahu tentang disiplin itu, dan mungkin dia tidak kisah sesiapa pun yang mengangkat disiplin itu, hanyasanya, dia lebih utamakan periuk nasinya sendiri. Yakni, apa yang dipercayainya dan diamalkannya selama ini sudah cukup untuk dia mencari rezeki dan menanggung kehidupannya, jadi dia menganggap tiada lagi keperluan untuk mencari disiplin lain untuk dikaji dan dibangunkan. Orang sebegini sememangnya terlibat dalam dunia perubatan semata-mata untuk menjaga periuk nasi, bukan untuk menjaga perubatan itu sendiri.

Itu semua masalah ilmu.

Adapun masalah amal, ini merujuk kepada sikap dan pengamalan oleh mereka yang terlibat dalam Perubatan Melayu. Ada yang mengamal tanpa ilmu yang cukup. Ada yang mengamal tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap Perubatan Melayu, yang mana hal ini mungkin menyebabkan pihak berautoriti mengambil tindakan yang negatif terhadap Perubatan Melayu.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, masalah-masalah yang berlaku dalam membangunkan dan memajukan Perubatan Melayu, punca utamanya adalah daripada pihak dalaman sendiri, yakni pengkaji, pengamal dan pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung.

Dan masalah paling besar di pihak dalaman itu ialah ketiadaan sebuah disiplin ilmu Perubatan Melayu yang sistematik, holistik dan standard.

Maka, selesaikanlah masalah-masalah ini dengan membuang tiga punca utama iaitu masalah pengetahuan, masalah keegoan dan masalah periuk nasi.

Semoga dengan itu dapatlah kita melihat perkembangan dan kejayaan Perubatan Melayu suatu hari nanti, insha-Allah.

Wallahu A’lam.


Naseer Sobree
9 April 2020

03 April 2020

Matan Perubatan Melayu (Siri 1): Fātiḥah


Matan Perubatan Melayu (Siri 1)

FĀTIḤAH

Dengan nama Allah yang Maha Penyembuh, hamba mulakan karangan ini. Segala puji dan segala puja, hanya tertentu untuk Dia. Tiadalah hamba lupa barang sekali, selawat dan salam untuk penghulu segala Nabi, tobib segala jasmani juga rohani.

Sesungguhnya, tatkala segala umat manusia di seluruh dunia berkeluh-kesah lagi hilang arah, dari kerana turunnya Wabak Korona, telah datanglah suatu risalah kepada hamba. Kemudian daripada itu, hamba teliti dan perhati akan risalah itu, padanya terisi suatu hajat yang diharapkan hamba tunaikan. Hamba yang serba faqir ini amatlah keberatan. Setelah hamba fikir-fikirkan, hamba gagahi diri  untuk menunaikan, dengan izin Allah Ta‘ala jua.

Adapun hajat yang tersebut dalam risalah itu, tiada lain adalah untuk mengetahui rahsia-rahsia Perubatan Melayu. Memandangkan hamba dapati tiada ada seorang pun yang menulis akan ilmu itu dengan jalan tersusun lagi tersuluh, maka pada hari Jumaat yang penuh berkat ini, hamba mulai mengarang suatu matan pada menyatakan rahsia-rahsia Perubatan Melayu dengan jalan ikhtiṣār. Hamba namakan karangan hamba ini sebagai “Matan Perubatan Melayu: Pada Menyatakan Asas Perubatan Melayu”.

Sebelum hamba lanjutkan lagi karangan ini, hamba bermohon agar dapatlah kiranya kita semua mendoakan tuan-tuan guru hamba yang telah hamba pelajari ilmu Perubatan Melayu daripada mereka. Pertamanya ialah Tobib Harun ibnu Mat Piah, keduanya Tobib Abdul Ghani ibnu Hussain. Sesungguhnya kedua-dua mereka telah kembali kepada Allah Ta‘ala pada tahun yang sudah, yakni tahun 2019. Semoga Allah merahmati dan menyantuni mereka serta membalas akan segala jasa mereka untuk sekalian umat manusia. Āmīn Yā Rabbal ‘Ālamīn.

Matan ini hamba karangkan dalam tujuh bab. Bab pertama pada menyatakan hakikat Perubatan Melayu. Bab kedua pada menyatakan ilmu kaji sihat. Bab ketiga pada menyatakan ilmu kaji sakit. Bab keempat pada menyatakan ilmu kaji punca. Bab kelima pada menyatakan ilmu kaji tanda. Bab keenam pada menyatakan ilmu kaji jaga. Bab ketujuh pada menyatakan ilmu kaji rawat. Adapun pada setiap bab itu, ada lagi fasal-fasal kecil di bawahnya yang akan hamba sebutkan tatkala sampai kita semua pada bab itu, insha-Allah.

Hamba harapkan sudilah Allah Ta‘ala perpanjangkan umur hamba yang faqir ini agar sempatlah hamba sempurnakan matan ini, berserta sharahnya juga hashiahnya. Āmīn Yā Rabbal ‘Ālamīn.

NASEER SOBREE
Jumaat
3 April 2020

01 April 2020

Penemuan "Formula Mizaj"


No photo description available.

ANTARA PENEMUAN BAHARU yang berjaya saya perolehi dalam cuti Covid-19 (20 Mac 2020) ialah "Formula Mizaj". Alhamdulillah.

Formula Mizaj ialah formula untuk mendapatkan nilai mizaj akhir setelah beberapa bahan dicampurkan, khususnya bahan ubatan.

Setiap bahan mempunyai nilai mizaj tententu. Apabila bahan-bahan itu dicampurkan, kemungkinan besar akan berlaku perubahan pada nilai mizaj bagi campuran bahan tersebut.

Formula ini dihasilkan dengan merujuk kitab-kitab para tabib muslim, kemudian digabungkan dengan ilmu matematik.

Pengiraan mizaj boleh dilakukan dengan menggunakan formula ini secara algebra. Namun, ia boleh juga dilakukan secara geometrikal.

Semoga formula ini dapat memberi manfaat yang besar kepada para pengamal perubatan klasik, inshaAllah.

29 March 2020

Ilmu Perkasihan Sebagai Salah Satu Cabang Perubatan Melayu




ILMU PERKASIHAN SEBAGAI SALAH SATU
CABANG PERUBATAN MELAYU

Muhammad Nasiruddin bin Mohd Sobri
(Naseer Sobree)

ABSTRAK [1]

Tamadun Melayu merupakan sebuah tamadun yang kaya dengan pelbagai khazanah dari sudut kebudayaan, kesenian, bahasa, persenjataan, teknologi dan intelektual. Walau bagaimanapun, masih banyak khazanah tamadun Melayu yang belum dibongkar dan didedahkan kepada seluruh masyarakat, khususnya khazanah yang berbentuk intelektual. Sebahagian besar khazanah intelektual ini terkandung dalam manuskrip-manuskrip tua yang tersimpan di seluruh pelusuk dunia. Ilmu perkasihan adalah salah satu khazanah intelektual tamadun Melayu yang agak kurang dibicarakan secara serius, khususnya dalam dunia akademik masyarakat Melayu. Bahkan ilmu sebegini mungkin dianggap oleh sesetengah pihak sebagai ilmu yang sulit dan rahsia. Anggapan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan peranan ilmu perkasihan sangat besar dalam memelihara kebahagiaan antara suami dan isteri, seterusnya menjamin kestabilan institusi kekeluargaan. Maka dengan itu, kertas kerja ini akan menyatakan secara umum mengenai ilmu perkasihan serta menunjukkan hubungan antara ilmu perkasihan dengan ilmu perubatan Melayu. Meskipun ilmu perkasihan menjadi sebahagian daripada ilmu perubatan Melayu, tetaplah ada keistimewaan ilmu perkasihan bilamana ia dijadikan sebagai sebuah disiplin ilmu yang berasingan yang menggabungkan beberapa ilmu lain selain ilmu perubatan Melayu.

Kata kunci: Ilmu perkasihan, seksologi, ilmu firasat, ilmu pengasih, perubatan Melayu.

1.0 PENGENALAN

Kamasutra merupakan sebuah karya tamadun India yang sangat terkenal dalam bidang ilmu perkasihan. Karya tersebut telah dikaji oleh banyak pihak di seluruh dunia. Namun tidak ramai yang sedar bahawa tamadun Melayu juga mempunyai karya-karya ilmu perkasihan yang sangat kurang dikaji secara serius dan ilmiah. Antara tokoh yang telah melakukan kajian ilmu perkasihan daripada manuskrip secara serius dan ilmiah ialah Dr. Harun Mat Piah. Beliau telah memulakan usaha menjejaki manuskrip-manuskrip Melayu yang membicarakan ilmu perkasihan sejak beberapa tahun yang lalu. Hasilnya, beliau telah menyenaraikan beberapa manuskrip yang mengandungi ilmu perkasihan. Beliau juga telah melakukan transliterasi bagi manuskrip-manuskrip tersebut. Selain itu, beliau melakukan analisis dan huraian terhadap karya-karya tersebut. Sebahagian besar hasil kajian beliau itu telah dimuatkan dalam karya terakhir beliau yang berjudul Seksologi: Ilmu Perkasihan Melayu. Meskipun karya beliau itu tidak sempat disiapkan sepenuhnya, penulis telah diamanahkan oleh beliau sendiri supaya menyempurnakan karya tersebut. Pada akhir-akhir hayatnya, beliau sangat aktif memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai ilmu perkasihan melalui pelbagai program ilmiah.

Semangat dan usaha yang ditunjukkan oleh Dr. Harun Mat Piah seharusnya disambut dengan lebih banyak usaha untuk menggali khazanah-khazanah ilmu perkasihan dalam tamadun Melayu. Beliau patut dijadikan tokoh dan ikon pengkaji manuskrip kerana kesungguhan dan ketekunan beliau mengkaji manuskrip amat sukar dicari ganti. Anak-anak muda belia sewajarnya menceburkan diri dalam bidang ini supaya sentiasa ada pelapis yang akan mewarisi usaha ini. Keberanian beliau melakukan kajian manuskrip dalam bidang yang sangat jarang diteroka amatlah wajar dijadikan pembakar semangat untuk para pengkaji manuskrip. Bermula dengan kajian sastera, beliau meneruskan penerokaan ke dunia manuskrip perubatan Melayu. Setelah berjaya meletakkan asas dan dasar perubatan Melayu, beliau beralih ke bidang ilmu perkasihan, yang mana ia merupakan salah satu cabang dan kesinambungan perubatan Melayu. Sekiranya beliau dikurniakan umur yang lebih panjang, tentulah banyak lagi bidang lain yang akan beliau kaji dan teroka, insya-Allah.

2.0 KONSEP, ISTILAH DAN DEFINISI ILMU PERKASIHAN

2.1 CIRI-CIRI ISTILAH DAN DEFINISI YANG TEPAT

Pemilihan istilah untuk menggambarkan keseluruhan ilmu ini bukanlah sesuatu yang mudah. Menurut ilmu mantik, istilah dan definisi yang tepat mestilah memenuhi dua ciri penting iaitu:

1.    Memasukkan kesemua perbahasan sesuatu perkara (jāmiʿ)
2.    Mengeluarkan kesemua perbahasan yang tidak termasuk dalam sesuatu perkara (māniʿ)

2.2 CONTOH ISTILAH YANG TIDAK TEPAT

Istilah “ilmu jimak” sebagai contoh, hanya memasukkan topik perlakuan jimak dan mengeluarkan topik-topik lain yang sepatutnya dimasukkan juga seperti penjagaan organ seksual dan perawatan penyakit yang berkaitan dengan organ seksual. Maka penggunaan istilah ilmu jimak adalah tidak tepat untuk menggambarkan keseluruhan ilmu ini.

Ada juga yang menamakan ilmu ini sebagai “ilmu perempuan” (ʿilm al-nisāʾ). Istilah ini hanya merangkumi persoalan kaum wanita seperti bahagian-bahagian organ seksual, watak-watak perempuan dan penyakit-penyakit perempuan. Sedangkan kita maklum bahawa ilmu ini juga melibatkan persoalan-persoalan kaum lelaki. Jadi, istilah ilmu perempuan masih tidak dapat mewakili ilmu ini secara lengkap dan sempurna.

2.3 CONTOH ISTILAH YANG TEPAT

Berdasarkan dua ciri yang telah disebutkan, maka istilah yang lebih tepat untuk mewakili keseluruhan disiplin ilmu ini ialah “ilmu perkasihan” atau “ilmu seksologi”. Istilah itu lebih umum sifatnya berbanding istilah ilmu jimak dan ilmu perempuan, maka ia dapat merangkumi kesemua persoalan yang termasuk dalam ilmu ini. Untuk memastikan istilah ilmu perkasihan betul-betul menepati isi perbahasannya, perlulah didefinisikan istilah itu secara khusus sebelum meneruskan perbahasan yang lain. Ini kerana istilah perkasihan boleh disalah tafsir oleh masyarakat awam yang tidak mendalami ilmu perkasihan. Ilmu perkasihan boleh didefinisikan sebagai:

“Sebuah ilmu yang membahaskan hubungan antara suami dan isteri”

Hubungan antara suami dan isteri boleh dikhususkan kepada hubungan seksual yakni jimak. Hubungan tersebut terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:

1.    Sebelum wujud hubungan
2.    Semasa wujud hubungan
3.    Selepas wujud hubungan

Perbahasan lebih lanjut mengenai cabang-cabang ilmu perkasihan akan dinyatakan kemudian. Sekarang kita ingin melihat struktur perubatan Melayu secara umum, seterusnya kita lihat pula kedudukan ilmu perkasihan dalam perubatan Melayu.

3.0 STRUKTUR ILMU PERUBATAN MELAYU

3.1 DEFINISI PERUBATAN MELAYU

Para ṭabīb bersepakat bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu perubatan (ṭibb) ialah:

“Ilmu yang dengannya dikekalkan sihat dan dihilangkan sakit”

3.2 KAEDAH PENGKELASAN PERUBATAN MELAYU

Ilmu perubatan Melayu merupakan suatu disiplin ilmu yang sangat besar dan merangkumi pelbagai topik. Meskipun dalam manuskrip-manuskrip perubatan Melayu tidak dinyatakan secara spesifik mengenai struktur dan klasifikasi ilmu perubatan Melayu, kita dapat menyusunnya dalam satu struktur yang sistematik berdasarkan kaedah pengkelasan yang digunakan oleh tokoh-tokoh perubatan muslim yang lampau seperti Zakaria al-Razi, Ibnu Sina dan Ibnu al-Nafis. Penggunaan kaedah pengkelasan tersebut boleh dilihat dalam beberapa kitab perubatan Melayu contohnya:

1.    Bustān al-Salāṭīn karya Syeikh Nuruddin al-Raniri
2.    Ṭayyib al-Iḥsān karya Syeikh Ahmad al-Fatani
3.    al-Raḥmah karya Syeikh Abbas Kuta Karang
4.    Khazīnat al-Insān karya Hakim Abdullah

Struktur perubatan Melayu yang dimaksudkan adalah seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut;



Rajah 1: Struktur ilmu perubatan Melayu


3.3 HURAIAN RINGKAS STRUKTUR ILMU PERUBATAN MELAYU

Ilmu perubatan Melayu terbahagi kepada dua cabang besar iaitu perubatan umum dan perubatan khusus. Perubatan umum ialah perbahasan mengenai dasar-dasar dan prinsip umum yang menjadi asas perubatan Melayu. Perubatan khusus ialah perbahasan mengenai ubat-ubatan serta penyakit dan rawatannya secara khusus.

Perubatan umum mengandungi dua pecahan iaitu ilmiah dan amaliah. Bahagian ilmiah membahaskan tajuk-tajuk teoretikal dan deskriptif, manakala bahagian amaliah membahaskan tajuk-tajuk praktikal dan preskriptif.

Bahagian ilmiah terdiri daripada empat pecahan iaitu kaji sihat, kaji sakit, kaji punca dan kaji tanda. Kaji sihat ialah perbahasan ilmiah yang melibatkan keadaan manusia yang sihat, ia merangkumi beberapa tajuk seperti empat unsur, empat cecair, empat mizaj, tiga bayu (rūḥ) dan tiga tenaga. Kaji sakit ialah perbahasan ilmiah yang melibatkan keadaan manusia yang sakit, ia merangkumi beberapa tajuk seperti penyakit mizaj dan penyakit anggota. Kaji punca ialah perbahasan ilmiah mengenai punca bagi keadaan manusia, ia merangkumi beberapa tajuk seperti udara, makan minum, tidur jaga dan gerak diam. Kaji tanda ialah perbahasan mengenai tanda bagi keadaan manusia, ia merangkumi beberapa tajuk seperti nadi, kemih (urin) dan tinja.

Bahagian amaliah terdiri daripada dua pecahan iaitu kaji jaga dan kaji rawat. Kaji jaga ialah perbahasan mengenai kaedah mengekalkan kesihatan, ia merangkumi beberapa tajuk seperti penjagaan kanak-kanak, penjagaan orang dewasa dan penjagaan orang tua. Kaji rawat ialah perbahasan mengenai kaedah menghilangkan penyakit, ia merangkumi beberapa tajuk seperti pengurusan, pengubatan dan pertanganan.

Perubatan khusus mengandungi dua pecahan iaitu ubat-ubatan dan juga penyakit serta rawatannya. Ubat-ubatan ialah apa-apa bahan yang boleh digunakan untuk mengekalkan kesihatan atau menghilangkan penyakit, ia merangkumi ubatan tunggal dan ubatan gabung. Ubatan tunggal terdiri daripada galian, tumbuhan dan haiwan, manakala ubatan gabung ialah sebarang gabungan ubatan tunggal. Penyakit dan rawatannya ialah tajuk yang membahaskan jenis-jenis penyakit beserta kaedah merawatnya, ia merangkumi penyakit umum dan penyakit khusus. Penyakit umum ialah penyakit yang boleh menimpa seluruh badan secara umum seperti demam. Penyakit khusus ialah penyakit yang boleh menimpa sesuatu organ secara khusus seperti radang mata dan radang kulit.

Itulah huraian bagi setiap cabang perubatan Melayu secara umum. Jadi kita ingin melihat pula di manakah letaknya ilmu perkasihan dalam perubatan Melayu sehingga ia boleh dianggap sebagai salah satu cabang perubatan Melayu.

4.0 KEDUDUKAN ILMU PERKASIHAN DALAM PERUBATAN MELAYU

Tujuan utama kertas kerja ini ditulis adalah untuk menyatakan bahawa ilmu perkasihan adalah salah satu cabang ilmu perubatan Melayu, maka di sinilah akan dinyatakan kedudukan ilmu perkasihan dalam perubatan Melayu. Walau bagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, ilmu perkasihan akhirnya menjadi satu disiplin ilmu yang berasingan dan digabungkan dengan beberapa ilmu lain sehingga ia boleh dianggap sebagai suatu ilmu yang berdiri sendiri.

4.1 ILMU KAJI JAGA SEBAGAI DASAR ILMU PERKASIHAN

Secara umumnya, kedudukan ilmu perkasihan dalam perubatan Melayu adalah di bawah tajuk ilmu “kaji jaga”. Jadi eloklah dinyatakan secara ringkas cabang-cabang ilmu kaji jaga yang lain. Ilmu kaji jaga merujuk kepada usaha mengekalkan kesihatan, atau boleh juga disebut sebagai usaha mencegah penyakit. Prinsip utama dalam kaji jaga ialah “penyamaan”, yakni proses menyamakan keadaan tubuh pada setiap masa, ini kerana tubuh mempunyai keadaan yang tertentu ketika sihat, maka keadaan itu perlu dipastikan sama supaya sihat itu sentiasa wujud. Berbeza dengan ilmu kaji rawat yang menggunakan prinsip “pembezaan” di mana usaha yang dilakukan adalah untuk menghasilkan keadaan yang berbeza dengan keadaan sakit supaya tubuh kembali sihat.

4.2 PENJAGAAN UMUM DAN PENJAGAAN KHUSUS

Kaji jaga terbahagi kepada dua cabang utama iaitu penjagaan umum dan penjagaan khusus. Penjagaan umum ialah penjagaan kesihatan bagi kebanyakan manusia secara umum, lebih tepatnya ia merujuk kepada penjagaan kesihatan bagi orang dewasa sama ada lelaki atau perempuan. Penjagaan khusus ialah penjagaan kesihatan bagi golongan manusia yang tertentu berdasarkan aspek tertentu. Contohnya ialah aspek usia dan aspek musim. Dalam aspek usia terdapat dua pecahan utama iaitu peringkat sebelum dewasa dan peringkat selepas dewasa. Peringkat sebelum dewasa boleh dinamakan sebagai peringkat budak di mana ia merangkumi peringkat bayi, kanak-kanak dan remaja, manakala peringkat selepas dewasa boleh dinamakan sebagai peringkat orang tua. Dalam aspek musim, terdapat empat pecahan iaitu musim panas, musim bunga, musim sejuk dan musim luruh. Bagi negara yang tidak mempunyai empat musim secara jelas, penentuannya dibuat berdasarkan keadaan cuaca dari sudut sifat panas, sejuk, kering dan basah. Setiap peringkat umur dan musim itu mempunyai kaedah penjagaan kesihatan yang tersendiri.

4.3 ENAM PUNCA ASASI

Penjagaan umum mengutamakan pengurusan enam perkara penting. Enam perkara ini sebenarnya adalah punca bagi keadaan manusia yang mana ia menjadi topik dalam ilmu kaji punca. Enam perkara ini dinamakan “punca asasi” (asbāb ḍarūriyyah) kerana kesemua manusia yang normal tidak dapat lari daripada enam perkara ini. Enam perkara yang dimaksudkan ialah:

1.    Udara
2.    Makan-minum
3.    Gerak-diam jasmani
4.    Gerak-diam rohani
5.    Tidur-jaga
6.    Buang-tahan

Daripada keenam-enam ini, ilmu perkasihan berada di bawah tajuk “buang-tahan”. Yang dimaksudkan dengan buang-tahan ialah proses membuang sesuatu bahan supaya ia keluar daripada tubuh, atau menahan sesuatu bahan supaya ia tidak keluar daripada tubuh. Antara bahan yang biasanya dibuang-tahan ialah kemih dan tinja. Kemih sepatutnya dibuang mengikut proses semulajadi tubuh, yakni dibuang bilamana terasa ingin kencing. Kemih boleh ditahan dengan menahannya atas kemahuan sendiri, dan boleh dipaksa buang dengan menggunakan bahan-bahan pelawas kemih (diuretic). Tinja juga sepatutnya dibuang mengikut proses semulajadi tubuh. Tinja boleh ditahan dengan menahannya atas kemahuan sendiri, dan boleh dipaksa buang dengan menggunakan bahan-bahan pelawas tinja (laxative).

Selain kemih dan tinja, bahan lain yang boleh ditahan-buang ialah air mani. Di sinilah letaknya kunci utama bagi ilmu perkasihan. Bermula dengan proses sekecil hajat mengeluarkan mani, kemudian proses mendapatkan medium mengeluarkan mani, akhirnya terhasillah suatu disiplin ilmu yang dinamakan ilmu perkasihan. Di sini menunjukkan bahawa pengeluaran mani bukanlah suatu perkara kecil yang boleh dipandang ringan. Pelbagai aspek perlu diambil kira seperti bilakah waktu mengeluarkan mani, dengan siapa boleh dikeluarkan, bagaimana cara ia dikeluarkan, bagaimana meningkatkan pengeluarannya dan apa yang perlu dilakukan setelah ia keluar. Proses mengeluarkan mani yang melibatkan suami dan isteri boleh dinamakan sebagai jimak. Struktur ilmu kaji jaga boleh dilihat dalam rajah berikut:



Rajah 2: Struktur ilmu kaji jaga



5.0 MANUSKRIP ILMU PERKASIHAN

Sumber utama ilmu perkasihan Melayu ialah manuskrip-manuskrip yang masih kekal dan disimpan di beberapa tempat sama ada di nusantara atau di luar nusantara. Buat masa ini belum dapat disahkan secara tepat berapakah jumlah sebenar manuskrip ilmu perkasihan yang masih terpelihara, ini kerana ilmu ini belum mendapat perhatian meluas dalam kalangan pengkaji manuskrip Melayu. Usaha-usaha mengesan dan menjejaki manuskrip ilmu perkasihan perlulah dilakukan oleh semua pihak yang sepatutnya, supaya sumber rujukan ilmu perkasihan menjadi lengkap dan cukup untuk membangunkan sebuah disiplin ilmu perkasihan yang sistematik tanpa meninggalkan sebarang topik yang berkaitan.

Menurut Dr. Harun Mat Piah dalam karyanya Seksologi: Ilmu Perkasihan Melayu, terdapat beberapa manuskrip Melayu yang telah berjaya dikenal pasti sebagai sumber ilmu perkasihan. Antara manuskrip yang telah beliau senaraikan ialah:

·         MSS 218 Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)
·         MSS 489 PNM
·         MSS 495 PNM
·         MSS 2905 PNM
·         MSS 300 PNM
·         MSS 686 PNM
·         MSS 1292 PNM
·         MSS 1584 PNM
·         MS 119 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
·         MS 546 Muzium Kesenian Islam Malaysia
·         Kitab Tajul Muluk

6.0 SUMBER EPISTEMOLOGI ILMU PERKASIHAN

Setiap ilmu mempunyai sumber epistemologinya yang tersendiri, begitulah juga dengan ilmu perkasihan. Sebelum ini telah dinyatakan bahawa ilmu perkasihan adalah salah satu cabang ilmu perubatan Melayu, maka sudah tentulah ilmu perubatan Melayu menjadi salah satu sumber epistemologi ilmu perkasihan.

6.1 ILMU PERUBATAN MELAYU

Ilmu perubatan dapat dilihat dalam beberapa perbahasan ilmu perkasihan contohnya kaedah mengekalkan dara dalam MSS 300:


Ini ubat orang tuha (tua) sudah beranak dapat pulang daranya. Maka ambil kulit jambu hutan dan buah cempaka besar, maka pipis lumat-lumat, bubuh air madu maka minum tiga pagi atau tujuh pagi dan masukkan ke dalam faraj perempuan itu, sembuh olehnya.

Kekal dara yang dimaksudkan di sini ialah keadaan faraj yang ketat dan sempit bagaikan anak dara. Kemungkinan besar bahan-bahan yang digunakan adalah bersifat pengkecut (astringent), maka berlakulah penyempitan faraj dengan asbab tersebut.

6.2 ILMU FEKAH

Selain itu, ilmu agama juga menjadi sumber epistemologi dalam ilmu perkasihan. Secara umumnya ilmu agama dibahagikan kepada tiga cabang utama iaitu tauhid, fekah dan akhlak. Dalam ilmu perkasihan, ilmu agama yang memainkan peranan utama ialah ilmu fekah dan akhlak.

Ilmu fekah dapat dilihat dengan jelas dalam perbahasan mengenai hukum-hakam berkaitan jimak. Dalam MSS 218 ada disebutkan:

Dan sunat bahawa jangan disunyikan daripada jimak dengan isterinya di dalam tiap-tiap empat malam sekali, jika tiada uzur dan sunat apabila ia datang daripada pergi-pergian dan sunat jimak berselimut dengan satu selimut dan tidur keduanya di atas suatu hamparan dan demikian lagi sunat mengambil wuduk antara dua jimak dan demikian lagi sunat mengambil wuduk kemudian daripada jimak apabila hendak makan atau minum atau tidur.
Dan makruh makan atau minum atau jimak pula atau tidur orang yang junub itu dahulu daripada membasuh zakarnya dan mengambil wuduk.
Dan makruh atas suami menilik kepada faraj isterinya tatkala jimak atau lainnya dan menilik kepada batin faraj lebih keras makruhnya yang demikian itu [mewarisi] buta yang menilik atau buta anak atau buta mata hatinya.
Dan makruh berkata-kata pada ketika jimak dan haram mengkhabarkan kelakuan yang hasil antara kedua laki isterinya.
Dan lagi makruh pada malam permulaan bulan dan pada malam kesudahannya dan pada malam pertengahan bulan kerana sekalian itu syaitan hadir ia pada sekalian malam itu serta orang yang jimak maka jimak ia sertanya. Dan demikian lagi kata Imam al-Ghazali di dalam Kitab Ihya Ulumiddin: dan sedianya hal junub; tetapi jika mandi ia kemudian daripada jimak tiada mengapa.

6.3 ILMU AKHLAK

Ilmu akhlak pula terlihat dalam perbahasan mengenai adab-adab jimak seperti yang tercatat dalam MSS 2905:

Sabda Rasulullah “Hendaklah kami beritahu akan peri tertib tatkala dekat dengan isteri yang halal”. Maka sembah Ali, “Ya Rasulullah berapa syarat wati itu?” Maka sabda Rasulullah, “Atas delapan perkara. Pertama-tama adab, pada isteri yang halal; dan kedua, dengan ridanya; dan ketiga, adab masuk khatannya; dan keempat, adab tatkala ghalib; dan yang kelima, adab sama duduk; dan yang keenam, adab tatkala terbuka pintu syurganya; dan yang ketujuh adab tatkala inzalnya; dan kedulapan pada waktu malam”.

6.4 ILMU FIRASAT

Ilmu firasat juga terlibat dalam ilmu perkasihan, khususnya apabila membicarakan watak-watak perempuan seperti yang tersebut dalam MSS 686:

Adapun perempuan yang seperti tabiat unggas itu iaitu sentiasa ia bertudung dirinya dan apabila datang suaminya [ditanyainya], “Dari mana engkau? Tiada engkau kasih akan daku. Adalah engkau kasih perempuan yang lain daripada aku.”

Adapun perempuan yang seperti tabiat singa itu iaitu apabila ada suaminya maka dimulailah perbantahannya serta katanya “Aku seorang diri kau tinggalkan di rumah dengan sakit-sakit, engkau pergi bermain-main seorang.”

Adapun perempuan seperti tabiat kambing itu iaitulah perempuan yang sebenarnya. Adalah padanya beberapa manfaat, dan adalah ia perempuan yang soleh, akan mengasih akan suaminya dan anaknya dan segala orang yang sempurna dan segala keluarganya. Dan adalah ia berbuat bakti akan Allah Taala dan akan suaminya. Maka sigianya segala hamba Allah Taala perempuan memperangai akan seperti perangai perempuan itu supaya adalah beroleh bahagia dunia dan akhirat.

6.5 ILMU PENGASIH

Ilmu pengasih turut memainkan peranan penting dalam ilmu perkasihan. Ilmu pengasih digunakan dalam dua cara. Pertamanya ia digunakan untuk membuatkan seseorang itu mencintai diri kita. Keduanya ia digunakan untuk membuatkan seseorang itu membenci orang lain selain diri kita, ia boleh juga dinamakan “ilmu pembenci”.
Secara umumnya ilmu pengasih menggunakan kaedah perbomohan, yakni menggunakan jampi dan bacaan tertentu. Perlulah diingatkan bahawa perbomohan itu ada yang syar’i dan taksyar’i, maka berhati-hatilah dalam menilainya. Janganlah dihukum kesemuanya halal atau kesemuanya haram. Dalam MS 119 ada dinyatakan seperti berikut:

Bab ini pengasih perempuan maka dijampi pada sirih pinang diberi ia makan, inilah doanya:

Pinang siamang nung nang, sirih sepalang
Kasih kapur sehunjur hati
Tembakauku seperti rindu dendam
Rindu dendam ia akan aku
Kupandang rebah, kutilikkan jatuh
Mukaku seperti bulan purnama empat belas hari
Berkat Lailaha illallah Muhammad Rasulullah

Secara ringkasnya, sumber-sumber epistemologi bagi ilmu perkasihan ialah:

1.    Ilmu perubatan Melayu
2.    Ilmu fekah
3.    Ilmu akhlak
4.    Ilmu firasat
5.    Ilmu pengasih

7.0 STRUKTUR ILMU PERKASIHAN

Ilmu perkasihan terdiri daripada beberapa ilmu seperti yang telah dinyatakan, namun itu hanyalah perbincangan secara terpisah-pisah bidang ilmunya. Maka wajar dibina satu struktur disiplin ilmu supaya ilmu perkasihan dapat dibahaskan secara sistematik dan tersusun. Pelbagai pendekatan boleh digunakan untuk mengkelaskan ilmu perkasihan, tiada aturan yang khusus dan tetap.

Walau bagaimanapun tentu ada kaedah tertentu yang paling relevan untuk menghasilkan struktur ilmu perkasihan. Maka dengan itu akan dinyatakan di sini satu bentuk struktur ilmu perkasihan yang boleh diguna pakai, namun ia masih terbuka untuk sebarang kritikan dan penambahbaikan. Berikut adalah struktur ilmu perkasihan yang dimaksudkan:



Rajah 3: Struktur ilmu perkasihan


Huraian dan contoh bagi setiap pecahan itu boleh dirujuk dalam manuskrip-manuskrip atau buku-buku ilmu perkasihan khususnya buku Seksologi: Ilmu Perkasihan Melayu. Jika dinyatakan kesemua itu di sini, tentulah kertas kerja ini akan menjadi terlalu panjang. Lagipun tujuan utama kertas kerja ini adalah untuk membuktikan bahawa ilmu perkasihan adalah salah satu cabang perubatan Melayu, bukannya untuk menghuraikan ilmu perkasihan secara mendalam dan teliti.

Sebagai renungan, sukalah dilampirkan di sini satu rajah yang sangat unik mengenai titik-titik jimak yang dinyatakan dalam kitab Hukum Jimak karya Ahmad bin Sulaiman Kamal Basya terbitan Darul Ma’arif tahun 1928. Rajah ini menunjukkan titik-titik pada faraj perempuan yang boleh dicapai dengan teknik-teknik tertentu.





Rajah 4: Titik-titik jimak


8.0 PENUTUP

Sebagai penutup, eloklah diringkaskan isi-isi penting dalam kertas kerja ini. Pertama, ilmu perkasihan ialah ilmu yang luas, ia tidak terhad kepada urusan jimak sahaja, bahkan ia merangkumi persoalan-persoalan sebelum dan selepas jimak. Kedua, ilmu perkasihan adalah cabang ilmu perubatan Melayu yang dikembangkan dengan menggabungkan beberapa ilmu lain. Ketiga, ilmu perkasihan dirujuk daripada manuskrip-manuskrip alam Melayu, maka dengan itu usaha mengkaji manuskrip-manuskrip tersebut perlulah dipertingkatkan supaya ilmu ini dapat disusun semula secara komprehensif dan sistematik.


RUJUKAN

Abbas Kuta Karang. Mohd Affendi Mohd Shafri (Rumi). 2017. Al-Raḥmah fī al-Ṭibb wa al-Ḥikmah. Akademi Jawi Malaysia, Kuala Lumpur
Ahmad bin Sulaiman Kamal Basya. 1928. Ḥukum Jimāʿ. Dar al-Ma’arif, Pulau Pinang.
Asiruddin al-Abhari. Naseer Sobree (Terj.) 2016. Īsāghūjī. Baytul Hikma, Pulau Pinang.
Bukhari al-Jauhari. Khalid M. Hussain (Rumi). 1992. Tāj al-Salāṭīn. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Hakim Abdullah. 2017. Khazīnat al-Insān. Akademi Jawi Malaysia, Kuala Lumpur.
Haliza Mohd. Riji. 2005. Prinsip dan Amalan dalam Perubatan Melayu. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Harun Mat Piah & Naseer Sobree. 2019. Seksologi: Ilmu Perkasihan Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Ibnu Qayyim al-Jauziah. 1433H. Al-Ṭibb al-Nabawī. Maktabat Dar al-Salam, Riyadh.
Ibnu Sina. Naseer Sobree (Terj.). 2016. Oximel. Baytul Hikma, Pulau Pinang.
Naseer Sobree. 2012. Risalah Ilmu Perubatan. Baytul Hikma, Pulau Pinang.
Nuruddin ar-Raniri. Naseer Sobree (Rumi). 2017. Bustānus Salāṭīn, Bab Ketujuh Fasal Ketiga: Pada Menyatakan Ilmu Tashrīḥ dan Ilmu Ṭibb. Baytul Hikma, Pulau Pinang.
Rogayah A. Hamid & Mariam Salim. 2006. Kepustakaan Ilmu Tradisional. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani. Mohd Affendi Mohd Shafri (Rumi). 2018. Ṭayyib al-Iḥsān fī Ṭibb al-Insān. Akademi Jawi Malaysia, Kuala Lumpur.

   
15 Oktober 2019



LAMPIRAN

Setelah kertas kerja ini dibentangkan dalam program Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019 di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2019, seorang peserta persidangan telah menanyakan soalan mengenai hukum penggunaan jampi, mantera, wafaq, azimat dan rajah. Kesemua itu saya namakan sebagai kaedah “perbomohan”, yakni kaedah yang bersifat abstrak dan spiritual, bukan kaedah fizikal.

Maka saya katakan, secara umumnya, perbomohan itu ada yang syar’i dan taksyar’i. Adapun secara khusus, untuk menentukan perbomohan mana yang syar’i dan taksyar’i, maka para ulama berbeza-beza pendapat. Ada ulama yang agak ketat dalam hal perbomohan, dan ada juga yang agak longgar. Jadi akhirnya, hal ini kembali kepada kecenderungan masing-masing untuk memilih pendapat ulama yang mana satu.

Sebagai renungan, eloklah dinyatakan di sini satu petikan daripada kitab al-Tibb al-Nabawi yang ditulis oleh Ibnu Qayyim al-Jauziah. Beliau menulis seperti berikut:

كتاب للرعاف
كان شيخ الإسلام ابن تيمية رحمه الله يكتب على جبهته:
﴿ وقيل يا أرض ابلعي ماءك ويا سماء أقلعي وغيض الماء وقضي الأمر ﴾
وسمعته يقول: " كتبتها لغير واحد فبرأ "
فقال: " ولا يجوز كتابتها بدم الراعف كما يفعله الجهال، فإن الدم نجس، فلا يجوز أن يُكتب به كلام الله تعالى "

Terjemahan

AYAT UNTUK HIDUNG BERDARAH (EPISTAXIS)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiah telah menulis pada dahinya:

وقيل يا أرض ابلعي ماءك ويا سماء أقلعي وغيض الماء وقضي الأمر 

Dan aku mendengar beliau berkata: “Aku telah menulisnya pada orang lain, lalu ia sembuh.”

Maka beliau berkata: “Tidak dibolehkan menulisnya menggunakan darah daripada orang yang berdarah hidungnya sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil, kerana darah adalah najis, maka tidak dibolehkan menulis Kalamullah Ta'ala menggunakannya.”




[1]   Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam program Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019 di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2019.