26 March 2020

Perkembangan Bekam Di Malaysia

Saya mula melihat dunia perubatan secara lebih serius ketika berusia 16 tahun. Ketika itu keluarga saya menyertai satu organisasi yang membawa perubatan alternatif secara agak teratur dan sistematik. Organisasi tersebut bernama HPA.

Perubatan konvensional sudah terlalu sering didengari, tiba masanya untuk saya perhatikan hujah-hujah perubatan alternatif. Setelah dinilai kedua-duanya, dapatlah saya simpulkan bahawa kedua-duanya saling memerlukan dan saling melengkapi. Bahkan yang sepatutnya ialah menggabungkan kedua-duanya kemudian memilih yang terbaik, hasilnya ialah perubatan integratif dan eklektik.

Antara kaedah rawatan alternatif yang sangat mashhur dan menarik minat ramai fizishen alternatif ialah bekam.

Saya pecahkan perkembangan bekam di Malaysia sehingga ke saat ini, kepada tiga fasa iaitu;

1. Sebelum HPA
2. Semasa HPA
3. Selepas HPA

SEBELUM HPA

Sebelum HPA melatih para fizishen dalam bidang bekam, bekam sudah wujud di Malaysia. Secara tepatnya tidak dapat saya pastikan bilakah bekam bermula di Malaysia. Namun, berdasarkan apa yang tertulis dalam kitab-kitab jawi klasik, memang jelas sekali bahawa masharakat Melayu klasik sudah tahu tentang bekam. Jadi, kemungkinan besar mereka juga telah mengamalkannya sejak dahulu lagi.

Sebelum HPA, memang sudah kedengaran bahawa ada individu-individu tertentu yang menyediakan khidmat bekam. Tetapi ketika itu bekam dianggap sesuatu yang terpencil, kampung, sakit dan menakutkan.

Selain orang Melayu, kaum lain juga mengamalkan bekam, khususnya kaum Cina. Ini kerana bekam memang merupakan sebahagian daripada rawatan yang termaktub dalam kitab-kitab Perubatan Cina.

SEMASA HPA

HPA bermula pada tahun 1987 dengan nama Perubatan Tradisional Al-Wahida (PTA). Pada tahun 1995 PTA telah bertukar nama kepada Herba Penawar Al-Wahida (HPA). Al-Wahida merujuk kepada nama anak sulung pengasas HPA iaitu Haji Ismail Haji Ahmad.

HPA melatih para fizishen alternatif melalui satu institut iaitu INTIBAH, yang bermaksud Institut Latihan Herba. Dalam INTIBAH, HPA memperkenalkan satu aliran perubatan iaitu Perubatan JAWI (Jejawi-Alamiah-Wataniah-Ilahiah).

Pengajian di INTIBAH mengambil masa yang agak lama, dan pengajiannya terbahagi kepada beberapa peringkat. Bekam merupakan salah satu subjek yang diajarkan di INTIBAH.

Bekam mendapat sentuhan baru dan nafas baru melalui HPA. Bekam telah mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia melalui HPA. Hal tersebut berlaku kerana bekam tidak lagi dianggap sebagai perubatan tradisional yang kolot, sebaliknya bekam diajarkan sebagai salah satu sunnah dan warisan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Pengajian Perubatan JAWI telah ditukarkan bentuk pembelajarannya kepada Kursus Herbalis. Kursus ini mendapat sambutan yang sangat hebat. Ramai fizishen dan bakal fizishen menyertainya termasuklah dari luar negara, khususnya dari Indonesia. Malaysia menjadi tumpuan buat seketika waktu.

HPA sentiasa melaung-laungkan slogan “Ke Arah Merealisasikan Tibbun Nabawi”. Dengan itu, masharakat mula mengenal apa itu Tibb Nabawi. Maka, bukan setakat bekam yang berkembang, bahkan banyak lagi rawatan lain yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW mula menjadi tumpuan sebahagian masharakat dan fizishen.

Ketika itu pusat rawatan bekam mula bercambah di Malaysia. Logo HPA dipaparkan dengan bangganya, kerana ia bagaikan satu pengiktirafan bagi para fizishen alternatif.

Walau bagaimanapun, HPA menghadapi sedikit krisis sekitar tahun 2012. Ketika itu ada yang mula meninggalkan HPA dan membawa haluan masing-masing. Maka nama HPA sedikit tenggelam selepas itu. Namun ia tidak mati. Dan kini ia mula kembali.

SELEPAS HPA

Orientasi fizishen alternatif khususnya dalam kalangan kaum Melayu mula hilang arah. Masing-masing dengan cara sendiri. Ilmu yang ada kekal begitu, tidak dikembangkan. Sedangkan di Indonesia, para fizishen alternatif mula mengkaji bekam dan menyusun ilmunya.

Tidak lama selepas itu, naiklah nama-nama fizishen dan aliran baru dalam dunia bekam di Indonesia. Ada yang ekstrim, ada yang longgar, dan ada yang sederhana. Pelaksanaan bekam diperkemaskan dengan alatan yang lebih sesuai dan steril.

Kaedah pelukaan juga dipelbagaikan. Ada yang guna jarum dan ada yang guna pisau. Yang guna pisau itu pula, ada yang nipis, ada yang dalam, dan ada yang sederhana. Maka berlakulah konflik sesama pengamal bekam, sedangkan kesemua kaedah itu boleh saja diamalkan mengikut keadaan, keperluan dan kesesuaian.

Ketika itu, Indonesia pula yang menjadi tumpuan fizishen alternatif Malaysia. Ada yang ke Indonesia untuk belajar bekam, dan ada pengajar bekam dari Indonesia yang dibawa ke Malaysia.

Akhirnya, dunia bekam di Malaysia bagaikan statik dan tepu. Terlalu ramai yang mengajar walaupun tidak berpengalaman. Keadaan ini bertambah buruk apabila ada pihak yang menjadikan bekam sebagai peluang bisnes, sedangkan bekam sebagai satu kaedah rawatan, matlamatnya mestilah sentiasa untuk merawat penyakit dan mencegah penyakit.

Dalam perubatan, duit tidak pernah menjadi tujuan nombor satu. Jika duit menjadi tujuan pertama dan utama, maka ia tidak layak langsung dianggap sebagai perubatan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, ingin saya nyatakan bahawa, setelah saya memerhatikan perkembangan bekam khususnya di Malaysia, maka wajarlah saya menyusun satu modul bekam yang integratif, yakni menggabungkan kefahaman moden dan klasik. Kepelbagaian aliran digabungkan secara integratif, yang terbaik daripadanya akan dipilih dan disusun secara eklektik.

Modul tersebut telah saya bangunkan ketika di Mesir, dan ianya akan dikembangkan sebagai salah satu cabang Medikologi, dengan nama “HIJAMATOLOGI”.

Insha-Allah

TAMMAT