Matan Perubatan Melayu (Siri 1)
FĀTIḤAH
Dengan nama Allah yang Maha
Penyembuh, hamba mulakan karangan ini. Segala puji dan segala puja, hanya
tertentu untuk Dia. Tiadalah hamba lupa barang sekali, selawat dan salam untuk
penghulu segala Nabi, tobib segala jasmani juga rohani.
Sesungguhnya, tatkala
segala umat manusia di seluruh dunia berkeluh-kesah lagi hilang arah, dari kerana
turunnya Wabak Korona, telah datanglah suatu risalah kepada hamba. Kemudian
daripada itu, hamba teliti dan perhati akan risalah itu, padanya terisi suatu
hajat yang diharapkan hamba tunaikan. Hamba yang serba faqir ini amatlah
keberatan. Setelah hamba fikir-fikirkan, hamba gagahi diri untuk menunaikan,
dengan izin Allah Ta‘ala jua.
Adapun hajat yang tersebut
dalam risalah itu, tiada lain adalah untuk mengetahui rahsia-rahsia Perubatan
Melayu. Memandangkan hamba dapati tiada ada seorang pun yang menulis akan ilmu
itu dengan jalan tersusun lagi tersuluh, maka pada hari Jumaat yang penuh
berkat ini, hamba mulai mengarang suatu matan pada menyatakan rahsia-rahsia
Perubatan Melayu dengan jalan ikhtiṣār. Hamba namakan karangan hamba ini
sebagai “Matan Perubatan Melayu: Pada Menyatakan Asas Perubatan Melayu”.
Sebelum hamba lanjutkan
lagi karangan ini, hamba bermohon agar dapatlah kiranya kita semua mendoakan
tuan-tuan guru hamba yang telah hamba pelajari ilmu Perubatan Melayu daripada
mereka. Pertamanya ialah Tobib Harun ibnu Mat Piah, keduanya Tobib Abdul Ghani ibnu
Hussain. Sesungguhnya kedua-dua mereka telah kembali kepada Allah Ta‘ala pada
tahun yang sudah, yakni tahun 2019. Semoga Allah merahmati dan menyantuni
mereka serta membalas akan segala jasa mereka untuk sekalian umat manusia. Āmīn
Yā Rabbal ‘Ālamīn.
Matan ini hamba karangkan
dalam tujuh bab. Bab pertama pada menyatakan hakikat Perubatan Melayu. Bab
kedua pada menyatakan ilmu kaji sihat. Bab ketiga pada menyatakan ilmu kaji
sakit. Bab keempat pada menyatakan ilmu kaji punca. Bab kelima pada menyatakan
ilmu kaji tanda. Bab keenam pada menyatakan ilmu kaji jaga. Bab ketujuh pada
menyatakan ilmu kaji rawat. Adapun pada setiap bab itu, ada lagi fasal-fasal kecil
di bawahnya yang akan hamba sebutkan tatkala sampai kita semua pada bab itu,
insha-Allah.
Hamba harapkan sudilah
Allah Ta‘ala perpanjangkan umur hamba yang faqir ini agar sempatlah hamba sempurnakan
matan ini, berserta sharahnya juga hashiahnya. Āmīn Yā Rabbal ‘Ālamīn.
NASEER SOBREE
Jumaat
3 April 2020