09 April 2020

Masalah Perubatan Melayu



MASALAH PERUBATAN MELAYU

Assalamu‘alaikum dan selamat pagi. Semoga semuanya sihat-sihat belaka. Maaf saya tulis panjang sikit pagi ini.

Berkenaan Perubatan Melayu, kita ada beberapa masalah. Semua masalah itu boleh diringkaskan kepada dua, pertamanya masalah luaran, keduanya masalah dalaman.

MASALAH LUARAN

Masalah luaran melibatkan banyak pihak, yang paling utama ialah pihak berautoriti yakni kerajaan, kementerian dan perundangan.

Masalah pihak berautoriti ada dua, pertamanya mereka tidak tahu disiplin Perubatan Melayu yang sebenar, keduanya mungkin sebahagian mereka bersikap bias atau tidak adil terhadap Perubatan Melayu. Namun, masalah kedua itu mungkin berpunca daripada masalah pertama, yakni mereka tidak tahu disiplin Perubatan Melayu, lalu mereka terpaksa menolak, menangguh atau menyekat sebahagian disiplin Perubatan Melayu yang difahami secara salah.

Untuk masalah pertama, penyelesaiannya ialah dengan membentangkan kepada mereka mengenai disiplin Perubatan Melayu yang sebenar. Jika hal ini dilakukan, sepatutnya tiada lagi masalah, melainkan ada masalah bias. Untuk masalah bias, penyelesaiannya adalah dengan cara lembut seperti memujuk, atau dengan cara tegas seperti berhujah. Namun, selagi disiplin Perubatan Melayu tidak dibangunkan, selagi itulah masalah pertama dan kedua boleh berulang.

Ringkasnya, disiplin Perubatan Melayu perlu dibangunkan oleh mereka yang terlibat dengannya, yakni tugas pihak dalaman.

MASALAH DALAMAN

Masalah dalaman merujuk kepada masalah pengamal dan pengkaji Perubatan Melayu serta sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dalam bidang ini.

Masalah dalaman secara umumnya ada dua iaitu masalah ilmu dan masalah amal.

Masalah utama dari sudut ilmu ialah ketiadaan disiplin Perubatan Melayu yang sistematik dan holistik (lengkap). Sebenarnya disiplin Perubatan Melayu itu wujud, sama ada secara bertulis dalam manuskrip atau secara warisan daripada para Tobib dan Tobibah Melayu. Namun, kesemua ini tidak disusun semula sebagai satu disiplin ilmu.

Punca utama mengapa disiplin Perubatan Melayu belum berjaya diwujudkan ada tiga, iaitu masalah pengetahuan (‘aqliyyah), masalah keegoan (ghaḍabiyyah) dan masalah periuk nasi (shahwāniyyah).

Masalah pengetahuan bermaksud ada yang tidak tahu bahawa disiplin itu wujud lalu dia menafikan disiplin itu, bahkan menyangka apa yang diamalkannya sekarang itulah Perubatan Melayu. Atau mungkin juga dia tahu ianya wujud, tapi dia tidak tahu di mana ianya wujud.

Jika kita lihat Perubatan Cina, India (Ayurveda, Siddha), Siam dan Homeopati, kesemua ini mempunyai disiplin ilmunya yang standard dan seragam di mana-mana sahaja. Contohnya ialah konsep unsur, cecair badan, organ dan tenaga (qi, prana), kesemua ini seragam dalam kesemua buku teks perubatan tersebut. Jika mereka berbeza, hanyalah dalam urusan pelaksanaan kepada para pesakit secara spesifik, adapun dalam urusan disiplin ilmu secara umum, kesemuanya adalah sama. Jika ada khilaf sekalipun, ia tetap tidak terkeluar daripada kerangka disiplin itu.

Bagaimana dengan Perubatan Melayu? Sehingga ke saat saya menulis ini, saya belum menemui satu pun buku teks Perubatan Melayu yang betul-betul sistematik, holistik dan standard. Sama ada memang tiada, atau masing-masing menganggap apa yang diamalkannya itulah disiplin Perubatan Melayu.

Masalah keegoan bermaksud ada yang tahu disiplin ini wujud dan dia tahu di mana untuk dapatkannya, tetapi keegoannya menghalang dirinya daripada mengangkat disiplin itu sebagai disiplin yang sebenar. Orang sebegini tidak sanggup melihat ada pihak lain mengangkat disiplin yang sebenar itu, kerana dia mahu dia sendiri yang mengangkatnya. Jika ada pihak lain yang mengangkatnya, maka dia akan abaikannya, atau dia akan mengangkat sesuatu yang sebenarnya bukanlah disiplin Perubatan Melayu. Jika pengangkat itu sudah tiada, barulah dia cuba mengangkatnya, supaya dianggap dialah yang mengangkatnya, bukan orang lain.

Masalah periuk nasi bermaksud, seseorang itu mungkin tahu tentang disiplin itu, dan mungkin dia tidak kisah sesiapa pun yang mengangkat disiplin itu, hanyasanya, dia lebih utamakan periuk nasinya sendiri. Yakni, apa yang dipercayainya dan diamalkannya selama ini sudah cukup untuk dia mencari rezeki dan menanggung kehidupannya, jadi dia menganggap tiada lagi keperluan untuk mencari disiplin lain untuk dikaji dan dibangunkan. Orang sebegini sememangnya terlibat dalam dunia perubatan semata-mata untuk menjaga periuk nasi, bukan untuk menjaga perubatan itu sendiri.

Itu semua masalah ilmu.

Adapun masalah amal, ini merujuk kepada sikap dan pengamalan oleh mereka yang terlibat dalam Perubatan Melayu. Ada yang mengamal tanpa ilmu yang cukup. Ada yang mengamal tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap Perubatan Melayu, yang mana hal ini mungkin menyebabkan pihak berautoriti mengambil tindakan yang negatif terhadap Perubatan Melayu.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, masalah-masalah yang berlaku dalam membangunkan dan memajukan Perubatan Melayu, punca utamanya adalah daripada pihak dalaman sendiri, yakni pengkaji, pengamal dan pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung.

Dan masalah paling besar di pihak dalaman itu ialah ketiadaan sebuah disiplin ilmu Perubatan Melayu yang sistematik, holistik dan standard.

Maka, selesaikanlah masalah-masalah ini dengan membuang tiga punca utama iaitu masalah pengetahuan, masalah keegoan dan masalah periuk nasi.

Semoga dengan itu dapatlah kita melihat perkembangan dan kejayaan Perubatan Melayu suatu hari nanti, insha-Allah.

Wallahu A’lam.


Naseer Sobree
9 April 2020