Saya tidak sepenuhnya maksudkan "jiwa" sepertimana yang dibawa oleh Aristotle.
Telah saya rombak semua itu dalam Psikoanatomi, di mana "sesuatu" itu ada dua jiwa beserta jasadnya.
Jiwa pertama fungsinya mentadbir jasad supaya jasad itu kekal sebagai jasad. Pada manusia, jiwa inilah yang mengawal homeostasis. Jiwa yang sama, ada juga pada haiwan, tumbuhan bahkan mineral. Jiwa pertama ini bukanlah hakikat diri sesuatu.
Jiwa kedua ialah jiwa yang sebenar dan hakiki. Jiwa ini menggunakan jasad yang dipelihara oleh jiwa pertama. Maka, jiwa kedua inilah yang boleh kita sabitkan akal dan nafsu padanya, terutamanya untuk manusia.
Jiwa pertama boleh dianggap khadam kerana menyediakan jasad untuk digunakan oleh jiwa kedua yakni jiwa hakiki.
Kematian tabi'i biasanya disebabkan oleh jiwa pertama rosak atau gagal memelihara jasad, lalu menyebabkan jiwa kedua meninggalkan jasad. Kiaskanlah huraian ini kepada "sesuatu" yang lain selain manusia.
14 Mac 2021